Polis Buru Lelaki Tunjuk Kemaluan Pada Wanita Di Kedai

MERSING - Polis sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian menunjukkan kemaluan di sebuah kedai di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, alamat terakhir lelaki berumur 30 tahun itu dikesan di Jalan Enggang, Felda Nitar 1, Mersing.

"Polis melancarkan gerakan memburu lelaki tersebut selepas menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia lingkungan 20an. Laporan dibuat pada hari sama (17 Feb) di Balai Polis Mersing," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi laporan berkenaan, wanita yang berasal dari Endau, Mersing itu mendakwa suspek datang secara tiba-tiba berhampirannya di kedai berkenaan kira-kira 9.25 malam sebelum membuka seluarnya lalu menunjukkan kemaluan.

Katanya, lelaki terbabit kemudian melarikan diri apabila dikejar sekumpulan orang awam selepas mangsa cuba mendapatkan pertolongan.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek supaya tampil membantu polis, katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum lima tahun penjara atau denda atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama