PM Akan Berbuka Puasa Bersama Rakyat T’ganu 29 Jun

KUALA NERUS – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat Terengganu sempena lawatannya ke negeri ini 29 Jun ini.


Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata majlis itu dijadual diadakan di Batu Rakit.


Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai untuk turut sama menyertai majlis itu dan memeriahkan sambutan Ramadan bersama pemimpin.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berbuka puasa dan meraikan anak-anak yatim Sekolah Menengah Imtiaz, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini malam tadi.


Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata beliau berbangga dengan pencapaian dan inisiatif sekolah tersebut dalam melahirkan ramai pelajar yang menghafaz 30 juzuk al-Quran.


Katanya sehingga April lalu, 275 pelajar dapat menghafaz 30 juzuk al-Quran.


“Tahniah kepada pengurusan Imtiaz. Kejayaan yang sangat hebat. Bukan senang nak melahirkan hafiz dan hafizah tetapi dengan adanya sekolah ini kita nampak bahawa kita dapat melahirkan..boleh dikatakan setiap hari ada pelajar kita yang hafal 30 juzuk al-Quran.


“Dengan secara tidak langsung negeri Terengganu ini telah menjadi salah sebuah negeri yang bukan hanya cemerlang dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam bidang agama.


“Dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang kita akan dapat lihat anak Terengganu yang menjawat jawatan profesional seperti doktor dan jurutera..mereka ini bukan calang-calang orang, mereka bukan hanya berjaya tetapi juga terdiri daripada hafiz dan hafizah. Mereka ini akan memastikan kesinambungan generasi akan datang adalah generasi ulul albab,” katanya.


Sementara itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan meneruskan program pemberian bantuan kepada rakyat bagi menjaga kebajikan mereka walaupun kerajaan negeri mengalami penyusutan pendapatan hampir RM1 bilion tahun ini. – BERNAMA