Perak Tarik Anugerah Penerima Langgar Undang-Undang

  • Print
  • Email
Details

Published on Wednesday, 15 February 2017 23:14

Filepic: Suara PerakFilepic: Suara PerakIPOH: Perak akan menarik semula anugerah darjah kebesaran yang dikurniakan daripada mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang termasuk rasuah dan jenayah.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara tersebut telah dititahkan sendiri oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini.

Menurut beliau, ia bagi memastikan penerima-penerima darjah kebesaran dari negeri ini betul-betul layak dan tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang.

“Kita di negeri ini amat teliti, calon-calon yang tersenarai untuk menerima pingat khususnya melibatkan calon Datuk dan ke atas juga akan disaring terlebih dahulu melalui Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pecengahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tuanku memang bertegas dan begitu prihatin akan senarai mereka yang akan dianugerahkan pingat daripada baginda, lantaran itu kita lihat Perak tidak ramai menerimanya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu.

Tambah beliau, sebelum ini terdapat juga kes di mana kerajaan negeri melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan, menolak beberapa nama calon kerana tidak melepasi proses saringan yang ketat.

“Kesemua calon itu akan melalui proses adakah mereka pernah terlibat dengan kes jenayah, keduanya adakah kedudukan mereka bankrap dan ketiga kes-kes dengan SPRM.

“Kita nak tahu jika mereka ini pernah terlibat dadah atau kongsi gelap, malah termasuk juga mereka yang diketahui terlibat dalam kegiatan-kegiatan itu tetapi tidak pernah ditangkap,” jelas beliau.

Dr Zambry turut bersetuju dengan cadangan SPRM yang sedia mengkaji keperluan untuk pihaknya menyaring bakal penerima gelaran darjah kebesaran di negara ini.

Cadangan tersebut timbul selepas terdapat beberapa penerima darjah kebesaran membawa gelaran “Datuk” dan “Datuk Seri” yang dikatakan terbabit dalam kegiatan kongsi gelap baru-baru ini.

Suara Perak