Perak hadiahkan kekalahan pertama buat JDT


IPOH 19 Feb. – Disiplin permainan tinggi yang dipamerkan pemain Perak menjadi kunci kejayaan pasukan itu melakar kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.





Dalam aksi sengit itu, Perak yang mendapat sokongan padu 25,000 penyokongnya membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi penyerang dari Palestin, Yashir Pinto yang bijak memanfaatkan hantaran menarik Faton Toski dengan melakukan tolakan mudah menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.


Namun, dua minit selepas itu, Ahmad Hazwan Bakri berjaya menjaringkan gol penyamaan apabila mudah menolak masuk bola ke gawang selepas menerima lorongan rakan sepasukannya, Gabriel Guerra.



Bagaimanapun, pemain tengah dari Bulgaria, Vladislav Mirchev memastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-75 selepas sepakan bebas daripada Thiago Junior gagal ditampan kemas oleh Farizal.


Ini merupakan kekalahan pertama buat juara Liga Super tiga kali berturut-turut, JDT musim ini. – UTUSAN ONLINE