Pengusaha judi patut kena hukuman rotan, penjara mandatori


Kerajaan didesak memperkenal dan menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan hukuman rotan atau penjara mandatori kepada pengusaha judi haram.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ustaz Haji Ismail Mina Ahmad berkata, kerajaan sendiri sedar masalah perjudian haram ketika ini sangat serius.

Jadi katanya, kerajaan perlu menggubal atau meminda semula akta yang ada berkaitan hukuman judi kepada tindakan lebih tegas.

“Saya cadangkan buat hukuman mandatori. Misalnya rotan atau penjara mandatori. Tak perlu lagi hukuman denda, sebab kita percaya pengusaha judi ini mampu bayar, dan mereka akan meneruskan kegiatan haram mereka seperti biasa,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Muafakat hari ini.

Sementara itu mengulas isu sama, Presiden Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Ustaz Masridzi Sat berkata, undang-undang yang ada sekarang dilihat begitu lemah sehingga menyebabkan pengusaha pusat judi berleluasa.

Katanya, setiap hari premis judi semakin bertambah meskipun serbuan dilakukan.

“Puncanya, undang-undang yang ada tidak menetapkan pusat judi yang digeledah atau didapati bersalah perlu disita. Sebab itu, pengusaha judi semakin berani.

“Mana tidaknya, hari ini digeledah. Esok buka seperti biasa. Malah ada juga esoknya, wujud dua dan tiga premis baharu. Macam tak bersalah langsung.

“Ada juga bila kita pergi serbu pusat judi, semua kosong. Nampak sangat mereka dah tahu. Ini bermakna ada pihak yang memberitahu mereka,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut katanya, di Wilayah Persekutuan sahaja, ada lebih kurang 3,500 premis judi.

“Bayangkan, satu premis dapat untung lebih RM50 ribu sehari atau sebulan.

“Senang-senang mereka dapat untung tanpa cukai. Mereka boleh buat apa sahaja mereka mahu, dan tak mustahil mereka boleh beli menteri. Kita tak mahu jadi macam Colombia yang mana menteri di beli oleh tauke judi,” katanya.