Pengundi 'Tak Makan' Isu 1MDB, Sarawak Kekal Pendeposit Kekal Najib Dan Barisan Nasional

  • Print
  • Email
Details

Published on Monday, 20 February 2017 12:50

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu berpihak kepada Barisan Nasional (BN) menunjukkan Sarawak kekal sebagai pendeposit undi bagi kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bloomberg memetik analisis Ibrahim Suffian dari Merdeka Center melaporkan, balu bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu dari Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) mengatasi lawannya dengan jumlah majoriti amat besar.

"Najib boleh pastikan bahawa Sarawak akan terus menyumbang kerusi dalam pilihan raya peringkat parlimen.

"Pembangkang sangat berharap untuk mengemukakan calon yang berkredibel. Melihat kepada situasi semasa, tiada satu pun (calon) yang mereka boleh tampilkan," kata Ibrahim, lapor Bloomberg.

Jamilah, 61, mengumpul 6,573 undi pada sabtu lepas, majoriti 6,443 undi daripada pencabarnya Johny Aput dari Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) dan Repelson Richard Hamit dari Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS)

Johny dan Repelson masing-masing hanya memperoleh 108 undi dan 130 undi, kedua-dua hilang deposit ekoran tidak mendapat undi melebihi 1,000 orang.

Keputusan terhadap Jamilah amat memberangsangkan ekoran jumlah kutipan undinya 551 undi lebih tinggi berbanding Allahyarham suaminya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lepas.

Menurut Bloomberg, Najib boleh menarik nafas lega ekoran rakyat Sarawak tidak terkesan dengan dakwaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimainkan pembangkang di Semenanjung negara.

"Parti pembangkang berusaha keras untuk menambil peluang diatas masalah (1MDB). Pakatan yang ditubuhkan empat tahun lalu dibawah kepimpinan Anwar Ibrahim retak sejak pemejaraannya ekoran bersalah diatas tuduhan sodomi dan masih mencari jalan untuk bersatu semula.

"Pengundi di Sarawak tidak menghiraukan skandal 1MDB sewaktu pilihan raya negeri tahun lepas, memberikan gabungan pemerintah jumlah majoriti lebih besar di dewan undangan negeri," lapor media antarabangsa berkenaan.

Ujarnya lagi, ianya ekoran PKR dan DAP kembali kepada kelakuan asal mereka iaitu bertarung sesama sendiri merebut kerusi yang dipertandingan pada PRK berkenaan.

"BN (pada waktu itu) juga sering mendapatkan ransangan daripada Allahyarham Tan Sri Adenan yang mengetuai kempen BN dalam pilihan raya negeri Mei lalu dan terus menjadi popular kerana memperjuangkan isu yang dekat dihati pengundi Sarawak, termasuk mendapatkan autonomi lebih besar kepada negeri," katanya.

Dalam pada itu, dalam keghairahan pembangkang berusaha untuk mendapatkan takhta di Putrajaya, pakatan berkenaan sudah terlupa kepada pengundi di Sabah dan Sarawak sepertimana dakwaan Ketua PKR Sarawak, Baru Bian.

Menurut Baru, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyatakan kebimbangan dalam kalangan pembangkang, namun kata ADUN Ba'Kelalan itu, "nampaknya mereka (pembangkang) sudah lupakan mengenai Sabah dan Sarawak."

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak 2, James Masing optimis akan terus menenggelamkan pembangkang di Sarawak selagimana kerajaan pemerintah mengotakan janjinya kepada Sarawak.

"Sarawak akan terus menjadi pendopsit kekal kepada BN," tegas James.

- Malaysian Digest