Pengkritik RUU 355 sila tutup mulut

Pemimpin PAS berharap pengkritik cadangan rang undang-undang pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 akan senyap selepas ribuan peserta membanjiri himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur semalam.
Himpunan anjuran PAS itu bertujuan menunjukkan sokongan kepada RUU persendirian yang dibawa presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi membolehkan kuasa hukuman mahkamah syariah dipertingkatkan.
Ramai yang mengkritik RUU itu dan mendakwa ia hanya cara PAS untuk melaksanakan hukuman hudud.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan Tantawi berkata sejumlah besar peserta himpunan semalam menjadi isyarat kepada semua, yang majoriti masyarakat Islam di negara ini menyokong pindaan itu.
“Kami harap lepas ini tiada lagi suara-suara yang meremehkan hasrat umat Islam untuk melihat hak umat Islam dapat diberikan dan dikembalikan bagi dapat dilaksanakan,” katanya kepada FMT.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad senada dengan kenyataan Nasrudin dan berkata kehadiran yang ramai mewakili keinginan rakyat untuk melihat pemerkasaan mahkamah syariah menerusi pindaan yang dicadangkan itu.

“Alhamdulillah, kehadiran yang ramai menggambarkan keinginan mereka untuk melihat mahkamah syariah diperkasakan di negara ini. Kita minta yang lain ambil perhatian. Ini petanda yang baik orang Islam ini cukup sensitif terhadap agamanya dan syariat,” katanya kepada FMT.
Ribuan peserta bersama pemimpin PAS berkumpul di Padang Merbok untuk menunjukkan sokongan kepada pindaan itu, tetapi Nasrudin percaya jumlah umat Islam yang datang melebihi mana-mana himpunan yang pernah diadakan sebelum ini.
“Jumlah ini mewakili segmen masyarakat dan ini himpunan terbesar di Malaysia yang saya jangka mencecah 300,000.
“Kalau dari Dataran Merdeka sampai bulatan Bank Negara jalan penuh orang tak boleh masuk ke Padang Merbok ini, saya jangka jumlah melebihi suku juta dan ini satu isyarat,” katanya.
Satu lagi himpunan balas “Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, semalam bagi menghimpun umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU 355.
RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Presiden PAS, Hadi bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dengan lebih banyak kuasa.
Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.