Pemuda PAS Kesal Tindakan Golongan Anti Vaksin

SHAH ALAM – Pemuda Pas kesal dengan tindakan segelintir golongan anti vaksin yang menghasut masyarakat agar tidak mengamalkan pengambilannya dengan menggunakan alasan tidak konkrit tanpa berlandaskan kepada kajian saintifik.


Pengarah Jabatan Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda Pas, Dr Mohd Ibrahim memaklumkan bahawa Islam mengharuskan penggunaan vaksin sekalipun ia mengandungi bahan terlarang sekiranya tiada pilihan ubat yang lebih baik.


“Sebenarnya, pada masa ini tiada bahan terlarang dalam vaksin kanak-kanak kecuali vaksin untuk rotavirus; itu pun tidak tersenarai dalam jadual imunisasi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.


Mohd Ibrahim berkata demikian bagi mengulas dua insiden yang berlaku berikutan serangan penyakit difteria di Sungai Petani, Kedah dan Ujong Pasir, Melaka baru-baru ini.


Dalam pada itu, Mohd Ibrahim memaklumkan bahawa pemberian vaksin juga bertepatan dengan maqasid syar’iyyah iaitu khususnya pada aspek hifz al-nafs (penjagaan terhadap nyawa).


“Kita disyariatkan untuk menjaga dan memelihara nyawa dalam kehidupan seharian kita. Jika sesuatu boleh mendatangkan mudarat maka perlu ditinggalkan.


“Begitu juga apabila sesuatu bahan itu jika tidak digunakan yang akan mengakibatkan kemudaratan pada nyawa serta tubuh, maka wajib kita mengambilnya walaupun ia mengandungi unsur yang meragukan,”katanya. – Sinar Harian Online