Pembinaan Stadium Sultan Ibrahim Larkin dilanjutkan



BAGI peminat bola sepak khususnya untuk pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), wajah baharu stadium kesayangan mereka, Stadium Sultan Ibrahim Larkin, Johor Bahru, Johor hanya akan siap pada awal tahun hadapan.

Perubahan yang dilakukan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini bagi memantapkan lagi mutu permainan dan paling penting pencahayaan di dalam stadium.

Stadium baru Kelab Bolasepak JDT  ini terpaksa dilanjutkan tempoh pembinaannya atas sebab-sebab perubahan tersebut dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2018 dan selewat-lewatnya penghujung tahun 2018.

Menerusi status di laman Facebook Johor Southern Tigers, enam gambar dikongsikan mengenai struktur perubahan yang dilakukan TMJ.

Antara perubahan yang dilakukan adalah mengubah kedudukan stadium untuk menerima cahaya matahari yang mencukupi bagi kebaikan pertumbuhan rumput.

Selain itu, penambahan kepingan cermin di sekeliling dalam stadium, merapatkan kedudukan kerusi penonton dengan padang, meninggikan sedikit kedudukan kerusi di bahagian 'grandstand' dan yang terakhir meletakkan lampu LED berwarna merah, biru dan putih di sekeliling luar stadium untuk bercahaya pada waktu malam.