Pemandu Teksi Berang MBPP tidak ambil tindakan aduan salah laku meletak kenderaan secara haram di lorong belakang


Sebuah forum mengenai rancangan mencantikkan lorong belakang bertukar kecoh, apabila seorang pemandu teksi menjerit ke arah pegawai yang mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan keutamaan mereka.
Lim Eng Chow, 49, dari Jalan Cheong Fatt Tze, berang dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang didakwanya tidak pernah mengambil tindakan terhadap pelbagai aduan dibuatnya mengenai tindakan pemandu meletak kenderaan secara haram di lorong belakang.
Beliau mendakwa tindakan meletakkan kenderaan secara haram menyukarkan anggota bomba memadamkan api sekurang-kurangnya 19 kali di sepanjang Jalan Cheong Fatt Tze yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Hong Kong, tempat beliau tinggal sejak 20 tahun lalu.
“Sekarang awak mahu mencantikkan lorong belakang? Awak sudah bincang dengan jabatan bomba mengenai perkara ini? Mana anggota bomba? Mengapa mereka tidak ada di sini?” soal lelaki itu dalam bahasa Hokkien di auditorium dipenuhi 50 orang, pagi tadi.
Lim yang asyik mencelah ketika Setiausaha MBPP, Yew Tung Seang cuba memberi penjelasan, bertambah marah dan meninggikan suaranya serta mengherdik pegawai PBT itu.
Keadaan itu berlangsung selama 10 minit sebelum beliau diiringi sarjan MBPP keluar dari auditorium.
Pun begitu, kemarahannya belum reda dan Lim terus menjerit dalam bahasa Hokkien ketika menunggu di luar galeri.
Di dalam auditorium, Yew memberi jaminan yang MBPP akan mempertimbangkan maklum balas Lim.
“Kami akan mengambil kira rungutan Encik Lim, jangan bimbang,” katanya.
Adun Komtar, Teh Lai Heng dan ahli majlis, Muhammad Bakhtiar Wan Chik turut hadir untuk menjawab soalan penduduk.
Ketika ditemui wartawan, Lim berkata, MBPP perlu tahu keutamaan mereka, bukannya bertindak sesuka hati.
Beliau mengulas rancangan MBPP untuk menjadikan 3 lorong belakang di George Town sebagai trek basikal, sambungan laluan basikal dari pusat beli-belah Gama di Jalan Gurdwara ke MBPP.
PBT itu turut bercadang menjadikan lorong belakang itu lebih mesra pejalan kaki dan membolehkan gerai makan serta trak makanan berniaga di sana.
Pegawai MBPP berkata, pelan itu kini di peringkat cadangan dan dialog hari ini bertujuan menilai sokongan penduduk di kawasan terbabit dan orang ramai.
Kebanyakan mereka yang menghadiri dialog itu menyokong rancangan berkenaan, walaupun beberapa kebimbangan disuarakan.
Pegawai MBPP berkata, selain borang kajian selidik yang diedarkan kepada penduduk, orang ramai juga boleh menyuarakan pandangan mereka terhadap rancangan itu dengan melayari www.mbpp.gov.my.

FMT