Pelajar Maut Rakan Putus Kaki

Seorang pelajar Tingkatan Lima maut manakala rakannya putus pergelangan kaki kiri dalam kemalangan di Kilometer 73.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Pulau Serai, di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, mangsa Mohd Syawal Abdul Wahid, 17, yang cedera parah di kepala meninggal di tempat kejadian.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha ditunggang rakan mangsa, Muhammad Zurkarnain Mustaffa Harun, 17, merempuh bahagian kanan sebuah kereta Toyota Estima dipandu seorang wanita.

Rempuhan itu menyebabkan Mohd Syawal yang membonceng motosikal tercampak ke laluan kanan jalan, sebelum kepala mangsa digilis sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun, dari arah bertentangan.

Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala rakannya dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.