Pasangan Remaja Berusia 17 Tahun Yang Bang Bayi Diarah Berkelakuan Baik.

KOTA BHARU - Pasangan remaja berusia 17 tahun dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM2,000 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam, kerana membuang bayi lelaki, Julai tahun lalu.

Hakim, Nazri Ismail membuat keputusan itu terhadap mereka selepas mengaku salah terhadap tuduhan yang dikenakan.

Nazri turut diperintah mereka membayar kos pendakwaan RM1,000.

Mereka didakwa bersama-sama sebagai ibu bapa kandung membuang seorang bayi lelaki di sebuah rumah di Lembah Sireh, di sini, pada jam 9.45 malam, 2 Julai tahun lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit bersalah.

Terdahulu, yang diwakili peguam, Mohd Nizam Mohamad dalam rayuan mereka memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya dan akan dikahwinkan selepas ini.

“Ketika meninggalkan bayi tersebut, pesalah juvenil lelaki terbabit melarikan diri selepas memastikan ada orang lain iaitu jururawat tersebut yang jumpa bayi itu dan bukan ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Hajar Alias bagaimanapun memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Mereka kemudian bebas selepas menjelaskan semua cagaran dan kos pendakwaan terbabit.-Sinar Harian