Pak Cik Rogol 2 Anak Saudara Berusia 16 Dan 15 Tahun Di Penjara 48 Tahun Dan 50 Sebatan.

KOTA BHARU: Seorang pemandu jentera berat dijatuhi hukuman penjara 48 tahun dan 50 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lima pertuduhan merogol dua anak saudaranya yang juga dua beradik, masing-masing berusia 16 dan 15 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman selepas tertuduh yang berusia 44 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol anak saudara berusia 16 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, antara jam 7 pagi hingga 8 pagi, pada bulan Ogos 2015 dan 7 pagi hingga 8 pagi, November 2015.

Pertuduhan ketiga hingga kelima, tertuduh didakwa merogol seorang lagi anak saudaranya berusia 15 tahun di lokasi sama, antara jam 7 pagi hingga 8 pagi pada Ogos, September dan Oktober 2015.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan hingga 30 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, Nazri menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan 20 sebatan manakala bagi pertuduhan kedua, keempat dan kelima, tertuduh dijatuhi penjara masing-masing 12 tahun dan 10 sebatan, dengan hukuman berjalan berturut-turut, bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 14 Disember 2015.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias.-Berita Harian Online