OnePlus 3 dengan 6GB RAM boleh dimiliki di bawah RM2,000

Xiaomi Mi 5 nak mula dijual minggu ni. Apa pilihan yang lebih baik? Apa kata dapatkan telefon yang memiliki RAM dan storan berganda dari Mi 5. Telefon pintar OnePlus 3, boleh mula dibeli bermula hari ni, tetapi dalam bentuk set import (AP).


Salah satu penjual telefon pintar terkenal di Lembah Klang, DirectD telah memaparkan OnePlus 3 dalam laman jualannya. Harga pula hanya RM1,999, tak sampai RM2,000 pun. Tetapi harga ini masih agak jauh berbeza dari harga rasmi OnePlus 3 apabila pertukaran matawang dibuat, iaitu USD399 sekitar RM1,608 sahaja.


OnePlus 3 - bergaya dari belakang


Bukan sahaja OnePlus 3 memiliki RAM & storan berganda dari Mi 5, tetapi ia juga menggunakan CPU lebih pantas. OnePlus 3 dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 820 berkelajuan 2.2Ghz, 6GB RAM LPDDR4 serta 64GB storan dalaman berteknologi UFS2.0, yang lebih pantas dari storan eMMC.


Skrin OnePlus 3 berukuran 5.5-inci, beresolusi HD Penuh dan dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 4. Baterinya berkapasiti 3,000mAh yang dicas menggunakan sambungan USB-C. Kali ini, ia dilengkapi pengecas pantas Dash Charge dengan kuasa pengeluaran 5V 4A, sama seperti pengecas OPPO VOOC.


Di belakang, ia dilengkapi kamera 16MP f/2.0 menggunakan sensor Sony IMX298, bersama penstabil imej optikal (OIS) dan elektronik (EIS). Kamera depan pula 8MP dengan saiz piksel besar 1.4-mikron. Pengimbas capjari terletak di depan,  turut berfungsi sebagai butang Home.


Pelancaran OnePlus 3 Loop - depan sisi belakang


OnePlus 3 menjalankan sistem operasi OxygenOS berasaskan Android 6.0 Marshmallow. Ia menyokong dua slot kad sim 4G, tetapi tiada slot kad mikroSD. OnePlus 3 juga memiliki butang fizikal notifikasi, untuk tetapan pantas mendiamkan telefon.


DirectD yang menjual OnePlus 3 pada harga RM1,999, menyatakan stok jualan akan tersedia pada jam 10 malam ini. Atau layari laman produk OnePlus 3 DirectD untuk maklumat lanjut. Akhirnya pembunuh peranti utama 2016 yang sebenar, boleh dimiliki di Malaysia.


[SUMBER]

The post OnePlus 3 dengan 6GB RAM boleh dimiliki di bawah RM2,000 appeared first on TheSkop.