Norway negara pertama tutup siaran FM

Norway mungkin menjadi negara pertama di dunia untuk menutup siaran radio FM (Frequency Modulation) sepenuhnya dan beralih ke siaran radio digital.

Menurut laporan Reuters, langkah yang diambil Norway adalah berisiko tinggi dan tidak popular, namun bakal menjadi ikutan negara lain jika berjaya.

Bagaimanapun, terdapat pengkritik yang mengatakan kerajaan terburu-buru dalam melaksanakan langkah tersebut.

Ini kerana masih terdapat siaran kecemasan yang masih menggunakan radio FM.

Selain itu, lebih 2 juta kenderaan di Norway masih belum dilengkap dengan penerima siaran radio digital (DAB).

Sebanyak 66 peratus warga Norway menentang langkah tersebut, 17 peratus menyokong manakala selebihnya masih belum buat keputusan.

Keputusan tersebut tidak menghalang parlimen untuk memberikan lampu hijau kepada kerajaan supaya langkah tersebut diteruskan.

Sementara itu, Switzerland, Britain dan Denmark juga merancang untuk beralih kepada radio digital pada 2020.

Semua siaran FM di Norway dijangka ditutup sepenuhnya pada akhir tahun ini.