Non Muslim anjur forum hudud bersama PAS di Pulau Pinang

Seorang individu akan menganjurkan forum terbuka berkenaan undang-undang hudud minggu depan bagi memupuk kefahaman dalam kalangan orang bukan Islam mengenai usaha PAS mengukuhkan undang-undang syariah.

Dr Ronnie Ooi, seorang doktor bersara yang pernah berkhidmat di United Kingdom, akan menganjurkan forum “PAS menjelaskan hudud dan usul Hadi Awang serta maklum balas”.
Forum terbuka itu akan diadakan pada 25 Februari dalam bahasa Inggeris di YMCA Jalan Macalister di sini.

Ahli panel termasuk exco Kelantan Dr Mohamed Fadzli Hassan dan ahli jawatankuasa Lajnah Dakwah PAS Pusat Ahmad Jailani Abdul Ghani.

Jailani juga salah seorang ahli jawatankuasa teknikal persekutuan untuk Kanun Jenayah Syariah, dipertanggungjawabkan untuk menyelia pindaan kanun keseksaan Islam bersama Jabatan Peguam Negara dan ahli Parlimen lain.

“Sebagai seorang bukan Islam, kami melihat pelaksanaan hudud dengan rasa takut dan marah, tetapi marah tidak memberi penyelesaian.
“Kita perlu suarakan bantahan kepada PAS melalui dialog secara bersemuka. Membantah hudud tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama dengan PAS dalam isu seperti melawan rasuah dalam kerajaan.


“Kita tidak boleh benarkan isu hudud memisahkan negara ini kepada kumpulan Islam dan bukan Islam yang tidak saling berhubungan,” kata Ooi pada sidang media di YMCA hari ini.
Turut hadir Jailani, Ketua Lajnah Dakwah PAS Pulau Pinang Amir Hamzah Abd Hashim dan timbalan, Abdul Rahim Kassim; dan peguam syariah dan sivil Khairul Kamal Razali.
Sementara itu, Jailani berkata peserta boleh menanyakan soalan secara langsung kepada mereka yang menyediakan pindaan itu, termasuk dirinya.

Beliau berkata banyak salah faham, seperti pandangan mengatakan kanun keseksaan Islam melanggar Perlembagaan, juga akan dijawab di forum itu nanti.
“Kita tidak pernah ada peluang untuk menjelaskan kepada orang bukan Islam mengenai rang undang-undang yang kami bentang di Parlimen.

“Rang undang-undang itu tidak membenarkan potong tangan atau rejam sampai mati. Rang undang-undang itu membenarkan mahkamah syariah mengenakan denda, penjara dan rotan.
“Undang-undang itu hanya boleh digunakan ke atas orang Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau,” kata Jailani.

PAS berusaha meningkatkan hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) sedia ada, melalui rang undang-undang persendirian di Parlimen.
Rang undang-undang itu akan dibentangkan sekali lagi apabila Dewan Rakyat bersidang bulan depan.
Mereka yang berminat menyertai forum Dr Ooi boleh RSVP di 017-519-0807/013-432-6592 (calls, SMS atau WhatsApp).