Negeri Sembilan Diwarta Kawasan Penyakit Brusella Abortus

SEREMBAN, 15 FEB – Kerajaan Negeri Sembilan mewartakan negeri ini sebagai kawasan penyakit Brusella Abortus bagi memudahkan Jabatan Veterinar menjalankan kawalan terhadap penyakit tersebut.



Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata demikian dalam sidang media di Wisma Negeri, hari ini.


Brusella Abortus adalah penyakit yang menyebabkan keguguran dan kemandulan kepada ternakan lembu atau kerbau yang akan menyebabkan kerugian kepada penternak.


Justeru itu, Jabatan Veterinar akan melaksanakan pemeriksaan dengan mengambil sampel darah haiwan yang diternak bagi mengesan penyakit ini.


Menurut Menteri Besar, pewartaan ini perlu bagi melupuskan haiwan yang dijangkiti penyakit tersebut dan pampasan akan dibayar kepada penternak.


Katanya lagi, pampasan hanya akan dibayar kepada penternak yang berdaftar di bawah Jabatan Veterinar.


Oleh yang demikian, Menteri Besar menyarankan penternak yang masih tidak berdaftar segera mendaftar di Jabatan Veterinar supaya pembayaran pampasan dapat dilaksanakan.


Tambahnya, penyakit ini juga akan memberi kesan kepada manusia. Justeru itu langkah berjaga-jaga ini diambil bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.


Pewartaan ini dilakukan mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 647) perkara 1 (1) dan 2.