Nasib Baik Tidak Mati: Pisau Menembusi Leher Penunggang Motosikal.

Phnom Penh: Gambar pisau terpacak di belakang leher pemandu teksi motosikal antara gambar kejadian negeri yang dikumpul pakar bedah saraf, Profesor Sam Nang, sejak Jun tahun lalu, yang ditunjukkannya semalam.

Dalam kejadian itu, seorang penumpang mahu merompak pemandu teksi pada satu malam di Phnom Penh dan apabila mangsa enggan menyerahkan wangnya, penumpang terbabit menikam belakang leher lelaki itu menggunakan pisau dapur sepanjang lima inci.

Gambar X-ray menunjukkan pisau menembusi seluruh leher mangsa namun lelaki itu bernasib baik kerana terbabas hanya beberapa milimeter daripada saraf tulang belakang (spinal cord) membolehkan mangsa hidup.

Profesor Sam Nang melakukan pembedahan mengeluarkan pisau itu namun beliau tidak menyatakan bila kejadian terbabit berlaku.

Beliau yang bersama dua lagi pakar bedah mengambil masa 90 minit untuk mengeluarkan pisau berkenaan berkata: “Mangsa amat bernasib baik kerana tikaman pisau itu tidak mengenai saraf penting.

“Pisau itu terbabas hanya satu atau dua milimeter, jika terkena lelaki itu sudah mati serta-merta.”

Menurutnya, lelaki itu pulih sepenuhnya tanpa sebarang kesan sampingan atau masalah saraf.

Profesor Nang yang mula menyertai pasukan pembedahan saraf pada 2005, kini bertugas di Hospital Preah Kossamak dan mengumpul gambar kes seperti kejadian itu sebagai bahan rujukan dan pembelajaran untuknya mengajar di Hospital Universiti Antarabangsa Sen Sok.Harian Metro