Najib izin saya hadir Himpunan RUU 355, kata Jamil Khir

Selepas Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa pada Disember lalu, pemimpin PAS dan Barisan Nasional (BN) hari ini sekali lagi sepentas menerusi Himpunan RUU 355.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kehadirannya di himpunan itu menerima persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan menambah presiden Umno itu “izinkan saya wakilkan… untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah”.
“Waktu saya nak bertolak tadi juga perdana menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sampaikan salam kepada tuan-tuan,” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat maghrib berjemaah.

Beliau mempersoalkan sesetengah pihak yang susah menerima pindaan undang-undang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

“Kalau dulu tak ada masalah dalam Parlimen, masyarakat dan kepada sesiapa pun. Tetapi, kenapa 2016, 2017 pindaan ini terpaksa kita adakan sampai himpunan seperti malam ini, kenapa terlalu sukar?

“Kita tidak ambil hak sesiapa pun (untuk buat pindaan RUU 355), umat Islam tak ambil hak orang lain, tapi kenapa tulisan, paparan wajah yang terlalu tak senang lihat Mahkamah Syariah berkembang.

“RUU 355 menjadi polemik panjang menerusi perbahasan di Dewan Rakyat kita bincang soal RUU 355, ada yang nyata persetujuan dan ada yang senyap,” katanya.

Turut hadir pada perhimpunan hari ini ialah timbalan Jamil, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki.
Himpunan RUU 355 itu dianjurkan PAS dan beberapa kumpulan Islam bagi menunjukkan sokongan dan memperjelaskan kewajaran usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.
Satu lagi himpunan balas dinamakan “Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas turut diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, bagi menghimpun umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU 355.

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Hadi. Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.