Monitor terbaru ZOWIE XL2540 beri kesegaran paling pantas

ZOWIE, jenama khas peralatan sukan elektronik oleh BenQ baru-baru ini memperkenalkan monitor ZOWIE XL2540 di Malaysia. Ia merupakan monitor khusus buat permainan video, pertama dengan kadar segar semula setinggi 240Hz.


Dengan kadar sepantas 240Hz, ia menjadikan paparan permainan lebih lancar yang pastinya memberi lebih kepuasan semasa bermain. Bagi memastikan ia benar-benar lancar, BenQ mencadangkan penggunaan monitor ini dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 10, AMD Radeon RX 480 atau lebih tinggi dari ini.



Rekaan monitor ini sangat ergonomik. Ia mepunyai ketinggian yang boleh diubahsuai, serta penghadang di sisi untuk lebih fokus semasa bermain. Untuk sambungan, ia memiliki set lengkap dengan DVI-D, HDMI, Display Port serta USB.



Skrin monitor ini berukuran 24.5-inci, memiliki resolusi HD Penuh 1920×1080. Ia datang bersama butang kawalan S-Switch, membolehkan tetapan monitor diubah dengan pantas untuk tontonan filem, permainan, melayari internet mahupun menaip dokumen sahaja.



BenQ juga melengkapi monitor ini dengan teknologi seperti Black eQualizer yang meningkatkan penglihatan tanpa mengganggu warna hitam sebenar, Low Blue Light untuk melindungi mata jangka panjang, serta 20 tahap tetapan Color Vibrance untuk kawalan warna lebih tepat.


Monitor ZOWIE XL2540 oleh BenQ ini akan mula dijual di Malaysia pada pertengahan bulan Mac, dengan harga pasaran RM2,399 dari pengedar sah BenQ. Untuk maklumat lanjut, layari laman produk ZOWIE XL2540.


The post Monitor terbaru ZOWIE XL2540 beri kesegaran paling pantas appeared first on TheSkop.