Missy Elliott penyanyi rap wanita disegani

KALI terakhir rapper, Missy Elliott muncul dengan album solo penuh adalah pada tahun 2005 menerusi album berjudul The Cookbook.

Untuk rekod, album tersebut mendapat reaksi baik daripada peminat muzik Hip Hop dan R&B, sekali gus meletakkan nama rapper ini antara insan seni senior yang kekal berjaya, biar rappers wanita baharu muncul silih berganti di Hollywood.

Meskipun senyap daripada sebarang album baharu kebelakangan ini, namun Elliott tetap aktif dalam mengeluarkan single dan melakukan kolaborasi dengan penyanyi lain sebagai penampilan khas selain aktif di belakang tabir.

Terbaharu, bintang kelahiran Virginia, Amerika Syarikat ini muncul dengan single, Im Better. Lagu yang sudah dilancarkan penyanyi ini sejak akhir Januari lalu itu sudah pun mempunyai video muziknya sendiri. Sehingga kini, ia sudah pun ditonton lebih 10 juta penonton di laman YouTube.

Muzik video yang diarahkan sendiri bersama rakan baik, Dave Meyers itu turut menampilkan rapper, Lamb.  Sinonim dengan imej eksentrik, muzik video Im Better turut menyaksikan gerak tari memukau, lengkap dengan elemen afro-futuristik tarian lantai dan disko di dalam kolam renang.

Terdahulu, Elliott ada melakukan kerjasama menghasilkan lagu baharu bersama Fall Out Boy untuk runut bunyi sebuah filem.

Trek lagu Im Better daripada Elliott ternyata mengubat kerinduan peminat, apatah lagi kehadiran lagu tersebut ibarat memberi bayangan positif bahawa penyanyi ini bakal muncul dengan sebuah album penuh pada tahun ini selepas sepi daripada sebarang album baharu lebih 12 tahun lalu.

Kekal jadi legenda

Sementara itu, di dalam skop muzik Hip Hip, Rap dan R&B dunia, Elliott atau nama sebenarnya, Melissa Arnette "Missy" Elliott, 45, dianggap sebagai legenda yang kekal relevan dan sukses sehingga kini.

Deretan anugerah sudah diraih dan jualan album-albumnya  pula terjual lebih puluhan juta unit di seluruh dunia menjadikan Elliott sebagai penyanyi rap wanita disegani.

Malah, Katy Perry penah menjemput bintang hebat ini sebagai salah seorang penyanyi jemputannya saat melakukan persembahan khas di Superbowl beberapa tahun lalu.

Selain Im Better, senarai lagu lain yang berjaya membawa namanya ke mercu ialah Get Your Freak On, 4 My People dan Work It.

Trivia Missy

Setakat ini, Elliott sudah pun menerima lima Anugerah Grammy, termasuk Penyanyi Rap Wanita Terbaik

Kerjaya seninya bermula pada awal 90-an, dengan menubuhkan sebuah kumpulan Rap yang dikenali sebagai Sista bersama rakan baik

Album keempatnya, Under Construction yang diterbitkan pada 2002 lalu kekal menjadi albumnya yang paling berjaya

Pernah bekerjasama dengan penyanyi hebat dunia seperti Mariah Carey dan Janet Jackson

Selain menyanyi, rapper ini juga turut aktif berlakon filem selain muncul dalam beberapa buah siri televisyen