Mesej Untuk Tun M: Apa Guna Jadi 'Kebanggaan Negara' Jika Proton Terus Berdarah?

  • Print
  • Email
Details

Published on Monday, 19 June 2017 15:00

"Kepada pengkritik-pengkritik kerjasama Proton-Geely, saya katakan cukup- cukuplah." Itu saranan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri  Mustapa Mohamed.

Setelah sekian lama berdiam diri daripada menjawab kritikan kerjasama Proton dan Geely Automobile, Mustapa atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa menggesa  pengkritik terutama Tun Dr Mahathir Mohamad bersikap rasional dan memandang jauh ke hadapan.

"Sangat mendukacitakan apabila niat murni dan komitmen berterusan kerajaan mahu  Proton berjaya dilabel Tun Mahathir sebagai berbuatan dendam. Kerajaan akan  sentiasa dan akan terus melindungi kepentingan negara, dan kita tidak akan  membuat keputusan berdasarkan dendam peribadi.

"Realiti terbarunya adalah industri automotif telah menjadi sangat global dan  berhubung antara satu dengan lain. Kerjasama telah menjadi norma kerana tidak  banyak pembuat kenderaan boleh berdiri diatas kaki sendiri, seperti contoh  Nissan-Renault dan Cherry Jaguar Land Rover.

"Apa gunanya kekal menjadi 'kebanggaan negara' seperti didakwa oleh Tun Mahathir jika ianya bermakna membiarkan negara terus kerugian wang tunai dan merosakkan  kebajikan pekerjanya?" soal Tok Pa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri  Mustapa MohamedMenteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed

Jelasnya, Proton sejak lima tahun lalu tampil meminta bantuan daripada kerajaan  bagi membiayai pelan pemasarannya yang tidak pernah sekalipun tercapai.

"Perlu diingatkan bahawa keputusan untuk bekerjasama dengan Geely hanyalah bagi  tujuan komersil demi kepentingan Proton, vendor dan pekerjanya. Ianya dilakukan  selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk mendapat manfaat teknologi  Geely, fasiliti kajian dan pembangunan (R&D) dan suntikan tunai," katanya.

Sungguhpun masih terlalu awal untuk menjangkakan impak Geely terhadap Proton,  tetapi berdasarkan kejayaan memulihkan Volvo daripada suram menunjukkan masa  depan syarikat automotif negara mempunyai masa depan cerah.

Tok Pa turut menjawab isu pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton sebelum ini  yang mana kata menteri berkenaan RM1.25 bilion telah diserahkan kepada Proton  dengan, "sebahagian besarnya telah digunakan untuk membayar tunggakan kepada  vendor."

Bakinya RM250 juta lagi kata Tok Pa akan diberikan dalam tempoh seminggu  sementara tambahan RM1.1 bilion lagi pinjaman bagi tujuan penyelidikan akan  diberikan setelah pemeteraian Proton-Geely ditandatangani pada Julai 2017.

Tegasnya, sungguhpun Proton kini mempunyai rakan strategik, ianya kekal sebagai  jenama Malaysia yang dikenali serata dunia.

"Kini segalanya sudah jelas. Kita samaada membiarkan Proton menstruktur semula  perniagaannya dengan bantuan rakan niaga asing atau kita sekadar membutakan mata dengan membiarkan syarikat dengan permasalahannya.

"Di penghujungnya, kepentingan vendor Proton, pengurusan dan pekerjanya yang  perlu diutamakan dan melangkaui kebanggaan serta aspek nostalgia. Logik dan akal perlu ditegakkan menjangkaui emosi disetiap penjuru, jika kita ingin berjaya  didalam perubahan pantas landskap global ini," katanya lagi.

- mD