Mencari bekalan menuju syurga: Diana Amir

HIJRAH diri adalah wajib buat umat Islam. Ini kerana seorang Islam dituntut untuk bertaubat di atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Hal ini turut disebutkan di dalam surah At-Tahrim ayat 8, firman Allah yang membawa maksud taubat dengan bersungguh-sungguh yakni ‘Taubat Nasuha’ yang dijanjikan-Nya bahawa segala dosa akan diampuni bagi sesiapa yang melakukan taubat.

Justeru itu, pelakon Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir binti Hashim, 30, mula berhijrah pada tahun 2011 dan sehingga ke hari ini masih berjuang dalam mencari bekalan menuju ke ‘Syurga Firdausi’.

“Saya mula berlakon pada tahun 2008 dan mula berhijrah pada tahun 2011. Jadi pembabitan saya di dalam industri lakonan dan perfileman hanya dalam jangka masa tiga tahun sahaja. Dalam tempoh itu, saya rasa sangat lama namun kini saya merasakan masa itu cepat saja berlalu.


“Orang melihat kita mungkin sudah lama berhijrah, namun bila kita dalam keadaan sekarang ini sebenarnya rasa sekejap saja. Lihat saja perjalanan setahun selepas perubahan, saya telah pun mengikat tali pertunangan pada tahun 2012 dan 2013 pula saya telah menjadi isteri yang sah dengan insan tercinta, Habib Bullah.

“Ekoran itu, masa terus dipenuhi dengan komitmen bersama keluarga dan anak serta jemputan pengisian rohani. Jadi masa memang terasa sekejap saja, sedar tak sedar dah enam tahun penghijrahan ini, alhamdulillah,” ujarnya yang baru sahaja menerima cahaya mata kedua.

Dalam tempoh perubahan tidak dinafikan pastinya akan ada dugaan dan ujian yang semua orang akan lalui. Walau bagaimanapun, Diana tekad untuk sentiasa memperbaiki dirinya menjaga hubungan dengan Allah mahupun sesama individu.

“Bercakap fasal istiqamah dalam penghijrahan itu saya mengharungi masa seperti biasa. Cuma kita tahu kekurangan dalam diri dan hendaklah kita perbetulkan. Begitu juga hubungan kita dengan Allah termasuklah sesama insan.

“Sekarang ini pun masih banyak lagi yang mahu saya perbetulkan tentang diri saya, sebab kita tahu hidup ini hanyalah sementara dan masa pula memang cepat berlalu. Apabila kita mengejar akhirat, masa untuk mencari bekalan untuk ke sana rasanya memang tak pernah cukup,” tambahnya.

Tubuhkan Usrah Dae

Diana yang pernah popular menerusi filem 7 Petala Cinta memberitahu, sebelum mempunyai kelas usrah yang diusahakan sendiri, di peringkat awal, dia juga kerap mengikuti kelas-kelas pengisian rohani bersama rakan seperjuangan yang lain.

“Sebelum saya mewujudkan Usrah Dae pada bulan Mac tahun lalu, saya sebenarnya sudah mengikuti beberapa kelas usrah bersama sahabat lain seperti Irma Hasmie, Heliza Helmi dan ramai lagi yang banyak memberikan sokongan dan dorongan bersama.

“Dari situlah saya mula kenal ramai Ustaz dan kenalan baru di mana kami semua nak kuatkan diri dan mempunyai matlamat yang sama.

“Bagi saya, mempunyai ikatan persahabatan seperti mereka adalah penting, andai kita hijrah tanpa ada yang memantau dan bersendiri, maka kita akan dipandu oleh syaitan dan lebih mengikut kata hati. Apabila dikelilingi oleh ramai sahabat, ia ibarat berjemaah, mereka akan tegur dan ajar kita,” katanya.

Bersangka baik dengan ALLAH

Pengalaman manis ketika menjejaki tanah suci Mekah al-Mukarramah pada bulan 6 tahun 2012 lalu, memang tidak akan dipadam, masih segar memori indah itu di ingatan pelakon Diana Amir. Mengimbau kembali momen tersebut, Diana mengakui dalam dirinya tetap merasakan kerdil dan hina ketika menyembahkan diri kepada Maha Pencipta.

“Momen pada masa itu saya masih lagi baru berhijrah, dan pertama kali ke sana saya pergi bersama kawan-kawan yang juga sedang berhijrah, masing-masing ke jalan untuk memperbetulkan diri. Boleh dikatakan hampir setiap masa kami menangis apabila mengenangkan dosa-dosa lalu.

“Jauh di lubuk hati, saya ada menganggap diri ini sangat hina, terima dan dengarkah ALLAH akan amal ibadah saya?

"Lalu semasa di perkampungan Melayu, Mekah, pada hari itu Israk dan Mikraj. Mereka ada nyanyikan satu lagu nasyid dan lagu yang didendangkan itu telah membuka pintu hati saya untuk bersangka baik dengan ALLAH.

"ALLAH nampak apa yang kita usahakan untuk ubah diri kita, jadi ia secara tak langsung juga telah buang satu beban dalam diri yang merasakan hina, tapi sebenarnya bila bertaubat dan ikhlas ALLAH nampak dan dengar segala-galanya,” tuturnya mesra.