Maut Dibelit Ular Sawa

KEMAMAN – Seorang buruh ladang maut setelah dililit ular sawa ketika cuba menangkap haiwan itu di Kampung Rambutan , Jabor, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu , mangsa warga Indonesia, Sapar, 55 , dari Jawa hampir ditelan meninggal di tempat kejadian akibat sesak nafas dan patah tulang rusuk, petik Utusan.

Mangsa terserempak dengan ular tersebut dianggarkan sepanjang lima meter dan seberat 80 kilogram itu yang sedang menyusup semak.
Ketika kejadian , mangsa dalam perjalanan pulang dari rumah rakan dan setibanya di tempat kejadian mangsa dikatakan cuba menarik keluar haiwan tersebut dengan memegang bahagian kepalanya.

Kejadian tersebut disedari oleh seorang saksi Mohd Yazid Ibrahim, 30 , yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Kampung jabor bersama isteri dan anaknya.

Menurutnya , mangsa dikatakan berhenti untuk melihat lebih dekat haiwan terbabit yang sudahpun separuh badan melintas jalan tersebut .

“ Dia ( Mangsa ) hendak memegang ular itu dan saya bertanyakan kepadanya samada ianya berbahaya kerana saiz ular tersebut memang besar dan dia pergi dekat lagi untuk pegang kepala ular itu “ katanya.

Selepas keluar dari keretanya dia terdengar jeritan mangsa menjerit meminta tolong dan melihat ular tersebut sedang membelit mangsa dari paras kaki hingga lehernya.

“ Saya terus mengambil gunting di dalam kereta dan cuba mencucuk ular tersebut berulangkali namun tidak berjaya dan isteri saya menjerit meminta bantuan penduduk kampung berhampiran .

“ Ketika itu mangsa sudah pun dibelit sepenuhnya manakala darah sudah mulai keluar dari telinga dan hidung “ katanya.

Tambahnya penduduk kampung yang terdengar jeritan bergegas ke tempat kejadian dan cuba untuk membuka lilitan dan akhirnya ular tersebut berjaya dibunuh dengan menggunakan sabit sejam kemudian.

“ Selepas berjaya dibunuh , kami periksa keadaannya , mangsa sudah pun meninggal dunia dan terus kami hubungi pihak polis.” ujarnya.

Sementara itu , Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd Said mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.