Mat Redho dapat anak lagi

Bekas juara program realiti Fear Factor Malaysia musim kedua, Mat Redho menimang cahaya mata kedua, semalam.

Isterinya, Nureain selamat melahirkan bayi lelaki itu pada jam 3 pagi di sebuah hospital di Petaling Jaya, Selangor.


Redho atau nama sebenarnya Mohd Redha Rozlan, 29, menzahirkan perasaan gembira dan teruja apabila kehadiran bayi itu melengkapi hidupnya dan isteri.

"Alhamdulillah, isteri saya melahirkan anak kedua kami secara normal. Walaupun di awal kehamilan ada masalah, Allah SWT permudahkan proses bersalin.

"Anak sulung perempuan dan kali ini lelaki. Kiranya keluarga saya sudah lengkap dan saya sangat gembira.

“Saya melalui pengalaman berbeza apabila anak kedua ini suka berjaga malam,” katanya.

Redho berkata, walaupun bersedia berdepan keadaan itu dia berharap ianya tidak berpanjangan. "Isteri akan berpantang di rumah mentua di Gombak. Saya harap dapat membiasakan diri menjaga anak pada waktu malam kerana kini sibuk menjalani latihan Ninja Warrior selain bakal menjalani penggambaran program doku travel untuk RTM tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Redho masih dalam proses memilih nama yang sesuai untuk anak lelakinya yang kini dipanggil 'Baby H'.