Marsha rindu berlakon

SEJAK bergelar isteri setahun lalu, jarang dapat melihat kelibat si cantik tinggi lampai ini di kaca TV mahupun layar perak.

Jika ada kemunculannya pun, dalam program-program hiburan termasuklah program realiti, Mentor Milenia.

Biarpun pernah menyuarakan hasrat untuk memperlahankan karier lakonan di awal usia perkahwinannya, namun akui anak jati Bumi Kenyalang ini, Marsha sudah mula merindui bidang lakonan.

"Saya lahir dari program nyanyian, semestinya nyanyian tetap keutamaan saya.

"Cuma disebabkan tanggungjawab sebagai isteri dan masa, saya pada awalnya memilih untuk menerima program pengacaraan. Tapi lama kelamaan, saya mula rindu dengan bidang lakonan.

"Mujurlah ada terlibat dengan pementasan baru-baru ni, sedikit sebanyak dapatlah melepaskan kerinduan walaupun tak sepenuhnya," ujar pemilik nama sebenar Marsha Milan Londoh ini.

Menurut Marsha, dia kini sibuk dengan program Mentor Milenia dan baru selesai menjalani rakaman program terbaru kelolaannya, OnuRinapaTi, yang menceritakan mengenai negeri Sabah.

Selain itu, filem lakonannya, Pak Pong akan menemui penonton di pawagam 23 Februari.

"Watak saya dalam filem ini kecil saja. Sebenarnya filem ini sudah shoot lima tahun lalu dan akhirnya akan ditayangkan 23 Februari nanti.

"Jadi, bagi peminat yang merindui lakonan saya, bolehlah ke pawagam," katanya sambil ketawa kecil.

Bukan hanya sibuk mengacara dan rindu berlakon, Marsha juga bakal melancarkan single ciptaan Omar K sebelum Ramadan tahun ini.