Mahligai cinta kami bahagia

Pelakon Catriona Ross terkejut dengan gosip yang mendakwa rumah tangganya bermasalah seperti disebarkan pihak tertentu ketika ini.

Catriona ketika dihubungi berkata, dia percaya cerita itu tersebar mungkin kerana dia kini dia jarang memuat naik gambarnya dan suami, Shaharuddin Mokhtaruddin di laman sosial.


"Saya lebih banyak memuat naik gambar secara solo kerana ingin memberitahu peminat perubahan diri yang sudah kurus dan perniagaan saya.

“Masih ada gambar saya dan suami yang dimuat naik sebelum ini dan gambar itu masih ada dalam Instagram saya,"katanya.

Catriona berkata, rumah tangga mereka bahagia sejak berkahwin tujuh tahun lalu.

“Perkahwinan mana yang tidak dilanda badai. Kalau setakat bertengkar biasalah dan selepas itu kami berbaik semula.

"Saya juga tidak tahu dari mana mereka dapat cerita seperti itu termasuk dakwaan ada orang ketiga kerana ia tidak betul," katanya.

Ditanya dakwaan dia tampil kurus kerana ingin menyelamatkan rumah tangganya, Catriona turut menafikannya.

"Saya mengambil inisiatif untuk menguruskan badan kerana ingin membuat kemunculan semula dalam bidang seni. Saya juga menguruskan badan untuk kesihatan dan meningkatkan keyakinan diri sebagai selebriti," katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Shaharuddin, pasangan itu dikurniakan tiga anak iaitu Sephia Rania, 7; Jamal Raess, 5 dan Edruce Riyadh, 2.