Mahfuz - Maaf saya takan mengundur diri namun saya tak boleh halang Presiden

ATIRAH HASLI

17 Februari 2017

Mahfuz Omar

SHAH ALAM - "Sekiranya Presiden Pas, (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) mahu tindakan tatatertib dikenakan ke atas saya, maka saya tidak boleh menghalangnya," demikian reaksi Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mengakui beliau bukanlah individu yang berkuasa menentang Abdul Hadi, Mahfuz berkata, keputusan Abdul Hadi sebagai ulamak besar dalam parti harus dihormati.

"Saya berjiwa besar. Apa yang ulama besar nak kata kepada saya, saya tidak akan terasa.  Apa yang saya buat (mengkritik dan menegur parti) dalam kerana saya sayangkan parti.

"Saya tidak mahu rakyat mempunyai tanggapan yang Pas adalah parti yang tidak boleh ditegur," beliau berkata demikian kepada Sinar Online, hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan meminta Mahfuz meninggalkan parti itu jika tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat dalam parti daripada terus mengkritik dan menyerang Pas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hadi minta Mahfuz tinggalkan Pas]

Beliau menjelaskan, bukan hanya Mahfuz tetapi pemimpin dalam parti perlu meninggalkan Pas sekiranya mereka tidak lagi menyokong dasar yang telah ditetapkan dalam parti itu.

Sementara itu, Mahfuz menegaskan beliau tidak akan mengundur diri dari parti hanya semata-mata diminta berbuat demikian.

Kata Mahfuz, beliau akan terus kekal dalam Pas demi mengimbangi suara dan prinsip parti dalam dunia politik tanah air.

"Beliau (Abdul Hadi) seorang ulama, beliau bolehlah bercakap tentang maruah. Siapalah saya ini untuk bercakap soal maruah. Saya hanya insan yang kerdil dalam parti.

"Kalau mereka tidak terima, saya tidak boleh buat apa-apa. Namun saya tidak akan keluar daripada Pas," katanya lagi.