Lelaki ini ceritakan pengalaman seram tinggal di homestay di utara tanah air pada Aidilfitri

Lelaki ini ceritakan pengalaman seram tinggal di homestay di utara tanah air pada Aidilfitri


Seperti tajuk yang tertera, berlaku tatkala aku balik ke kampung halaman untuk berhari raya. Untuk menjimatkan kos, maka kami pun menumpang di homestay yang dimiliki oleh makcik aku pada kadar sewa yang rendah.


Saat aku menjejak kaki ke rumah itu, yang berupa sebuah rumah Semi D dua tingkat, aku merasa sangat tidak selesa disebabkan ada sejenis bau hapak yang aku cam adalah bau kucing. Aku cam bau hapak kucing sebab ada seorang kawan aku ni pernah bela 15 ekor kucing dalam rumahnya, jadi aku boleh cam sangat, cuma rumah ni bau hapaknya lebih kuat ‘aroma terapi’nya.


 


Lelaki ini ceritakan pengalaman seram tinggal di homestay di utara tanah air pada Aidilfitri

Lelaki ini ceritakan pengalaman seram tinggal di homestay di utara tanah air pada Aidilfitri


Tapi tiada seekor kucing hatta hamster yang kelihatan.


Adapun tiga keluarga iaitu kakak dan abang aku pun menyempit dalam rumah yang sama menjadikan total manusia yang ada lebih kurang 15 orang termasuk aku, anak-pinak dan anak-buah ipar duai. Mak aku pun ada juga menyempit skali.


Malamnya lepas kami berfiesta makan-makan hilang akal di pekan berhampiran (kecuali abang aku), semuanya pulang dalam keadaan letih. Aku terus mandi dan terus bersiap untuk membuta di sebuah bilik yang aku dah cop siangnya. Anak isteri aku pula tidur dalam sebuah bilik lain sekali dengan mak aku dan seorang dua lagi anak buah aku. Dua orang anak buah aku yang dah besar panjang tidur di tingkat atas dan saki bakinya membentang Toto dan tidur berlonggokan di ruang tamu.

Bilik yang aku tidur berupa sebuah bilik kecil yang ada satu katil bujang dengan sebuah kipas yang segan berputar ibarat hidup segan mampus pun tak mahu. Masa nak tidur tu aku resah semacam, didatangi suatu perasaan yang memang aku nyampah bila ia datang. Tapi aku buat relaks saja, baca apa-apa yang patut dan mendengkur.


Terjaga untuk memerut


Tetiba aku terjaga. Owh, rupanya penangan mee ketam, mee rebus, ketupat, rendang, rendang tok dan sebagainya telah membikin urat perutku memulas. Masa untuk memerut. Tapi aku rasa pelik, apa hal aku ada dalam bilik lain ni? Ya, memang ada sebuah bilik kosong tak berpenghuni sebab tiada kipas ataupun pendingin hawa. Ah, aku buat bodoh saja, malas nak fikir bukan-bukan, bersangka saja yang aku telah berjalan dalam tidur.


Aku tengok jam, pukul 3.50 pagi. Aku capai tuala, londehkan kain dan menapak ke bilik air untuk melimpahkan kurnia dari usus yang berpesta rendang, laksa dan sebagainya. Bilik air itu pula pintunya tak boleh dikunci, cuma boleh disendal dengan baldi berisi air. Tetapi, sebab pukul 3.50 pagi jadi aku pun tak sendal pintu itu dengan ingatan tiada yang akan memerut sekali denganku.


Aku pun nyalakan curut, sebab tabiat aku memerut mesti sambil menghisap curut. Kerana nikmatnya gurih dan begitu mempesonakan.


Sambil tercangkung melimpahkan kurnia yang besar, kecil dan ada yang liat dan bersifat cecair, aku pun nyaris terlelap. Tatkala mata hampir terpejam, PONGG!!! Pintu bilik air itu ibarat diketuk kuat. Tergezut aku, hinggakan segumpal kurnia yang aku rasa sebesar guli yang nyaris jatuh ke mangkuk jamban tersentap masuk ke dalam balik. Ah, tak ada apa-apa kot, jadi aku pun terus beristinjak dengan kadar kecepatan yang tinggi.


Saat menyental dengan sabun, pintu itu pula bergerak, macam hendak terbuka, tetapi selepas itu terus tertutup balik. Berulang-ulang. Ini sungguh merengsakan, membikin sanubari begitu tidak senang. Selesai saja, aku dengan berkeras hati terus membuka pintu dengan harapan tiada makhluk yang menunggu di sebalik pintu.


Nasib baik tiada apa-apa yang boleh membikin pengsan. Aku pun menuju balik ke bilik untuk menyarung kain. Tatkala proses menyarung kain berlaku, tiba-tiba saja rantai selak pintu bilik itu bergerak seperti dicuit sesuatu. Ceh, memang sahihlah ada sesuatu yang sial di umah itu.


Berpindah bilik


Aku ini memandangkan hendak mengelak usikan yang lebih parah terus ke bilik tempat yang anak isteri aku tidur. Ceh, tiada ruang untuk aku menyempit, sebab anak-anak aku dan dua lagi anak buah aku tidur atas katil queen-size manakala isteri aku dan mak aku tidur atas Toto di lantai.


Ah, aku tak peduli, aku takkan tidur di bilik kecil semula, takut nanti ada yang kena pindah ke bumbung pula. Jadi aku dengan manja menyelit di celah antara mak dan isteri aku dan terus berdengkur.


Pengalaman Yang Lain


Dua malam kami di rumah itu, syukur malam kedua aku tidur di rumah sepupu aku. Dalam perjalanan pulang ke tempat asal, kakak aku buka cerita, yang balik dari berjalan raya, masa kereta menyuluh pagar rumah, dia nampak ada kelibat seorang budak kecil menjengah dari tembok pagar. Tapi dia tak beritahulah masa itu.


Abang aku pula cerita, malam pertama di situ masa kami pergi berfiesta, dia dengar ada bunyi budak-budak main sakan di tingkat atas, sedangkan dia seorang saja di rumah. Selepas itu masa dia tengok perlawanan bola Malaysia vs Barcelona, tiba-tiba ada bunyi kucing mengiau dan dia pun nampak ada sekor kucing putih melintas dari arah dapur ke pintu depan. Dan hilang. Sedangkan pintu tertutup kot. Phuiii.


Dan malam kedua pula abang aku cerita yang masa tidur dia terjaga, rasa macam diraba-raba. Dia boleh rasa macam ada sesuatu baring di sebelahnya. Dia sekadar menjeling ke sisi, sah ada sesuatu kelibat di sebelahnya. Tapi dia buat bodoh sajalah.


Anak saudara di tingkat atas dua orang tu pun beritahu, yang masa mereka hampir nak tertidur, salah seorangnya nampak kelibat macam perempuan, berambut panjang, duduk bertenggek atas cermin make-up. Ceh, alat pelangsing tubuh apa sial tu pakai sampai begitu ringan tubuhnya boleh bertenggek atas cermin?


Dan dalam bilik mereka tidur itu ada bilik air juga, jadi masa salah seorangnya keseorangan di bilik, tombol pintu bilik air seakan-akan diputar-putar, tetapi tak lajulah, perlahan ala manja begitu. Tetapi budak-budak ini berani, mereka buat tidak layan saja, jenis yang biasa duduk asrama jadi benda-benda seperti ini biasa bagi mereka.


Selepas itu, bila dikorek lagi cerita ada salah sorang sepupu aku pun pernah menginap di rumah itu, sekeluarga, dia, isterinya, dan anaknya tiga orang. Isterinya cerita, masa duduk-duduk belek Android di dapur, tiba-tiba anak bongsunya berusia lapan tahun lari kepanikan meluru ke arahnya sambil memeluk dengan muka pucat lesi. Bila ditanya mengapa, dia menangis saja kuat-kuat. Bila dah balik ke rumah sendiri baru anaknya cerita yang masa dia nak naik tingkat atas di tangga, tiba-tiba ada Ju On meluru merangkak menuruni tangga sambil lidah terjelir dan tersenyum kambing.


Kalau aku budak itulah, sah aku tumbang pengsan di saat detik ketika itu jua…


Owh BTW, homestay ini bukan Taiping, ni atas lagi.


Hasil Siasatan


Rupanya hasil siasatan dengan makcik aku yang satu lagi yang tinggal berhampiran rumah itu. Rumah itu asalnya dibeli sebagai kediaman, tetapi empunya rumah hanya dapat bertahan lima malam sahaja.


Tapi makcik aku tak cerita banyak , cuma yang pasti ada melibatkan penampakan budak kecil, makhluk seakan Ju-on dan juga kucing putih. Macam Ju-on la pulak, tapi bukan di negara Jepun tetapi di Malaysia.


Hampeh sekali. Nasib la sesiapa ya yang menghomestaykan diri di rumah itu.


Cerita Dari Pemilik Homestay


Encik R menggaru-garu pipi yang tak gatal, serba salah mahu dibuka atau tidak akan pintu tersebut. Puan M hanya terkebil-kebil, dan tangan kanan dengan rakus menggaru-garu punggung yang sekian lama kegatalan. Ya, beliau begitu tertekan sejak hari pertama disitu, segala impiannya tidaklah seperti yang diharapkan. Mahligai idaman yang diharapkan membawa erti bahagia dan ceria pada keluarganya, rupanya telah didiami makhluk lain.


Punah harapan berderai impian.


Encik R memberanikan diri merapati pintu yang masih diketuk-ketuk. Tatkala jemarinya menyentuh saja tombol pintu, dengan pantas bunyi ketukan pun senyap. Namun Encik R nekad, terus tombol pintu diputar dan pintunya dibuka.


No había nada allí. No hay gente allí. Nothing was there. Seperti petikan Telenovelas yang penuh suspen. Tak kelihatan pula si tukang ketuk. Dan selang beberapa saat dari detik pintu terbuka, tiba-tiba kedengaran seakan lolongan sayu seorang perempuan dari tingkat atas. Habis saja melolong nan sayu dan seram membikin bulu di sekujur tubuh berdiri tegak, TAPP!!! Bekalan eletrik terputus. Seluruh rumah kegelapan. Ini membikin status seram yang dah sedia adanya begitu seram dan menakutkan, naik sehingga kadar 98.40% berbanding tadi cumalah 49.73%.


Gelap gelita, keseraman dan kepanikan yang menghampiri maksimumnya.


Pantas Puan M, Q, G dan F melompat dari katil meluru ke Encik R. Mereka berpegangan tangan sambil mulut terkumat-kamit membaca apa-apa ayat suci yang melintas di minda. “Allahumma laka sumtu, wa bika….” diulang ulang dari mulut si F, kerana itu saja yang terkini dihafalnya bersempena puasa pertamanya di Ramadan yang lepas.


Mereka berjalan berhimpitan. Encik R mencapai kunci kereta dan beberapa beg yang mengandungi dokumen-dokumen penting. Begitu juga Puan M. Detik mereka berjalan itu, kedengaran pinggan seperti dilempar di dapur. Pintu bilik bawah yang dihuni F sebelum ini dihempas kuat berulang kali. Begitu juga pintu bilik diatas.


Perjalanan yang hanya sekitar 10 meter sahaja ke pintu utama terasa begitu jauh. WAAAARGGGHHH!!! G menjerit kuat, kakinya dipegang sesuatu dan direntap-rentap dengan agak kuat!! Puan M terus mengheret sahaja G dengan terus memeluk erat anak jantannya itu. Ke arah pintu utama objektif mereka.


Tiba-tiba sofa di hadapan mereka bergerak. Mereka abaikan dan melangkah terus saling berhimpitan. WUUUHUUUUUUIII!!! Satu lolongan lagi kedengaran, kali ini dari arah dapur. Ah, paras seram ini sudah begitu melampaui batas.


WARGGHHH!!! Kesemua mereka melompat akibat terkejut yang amat sangat apabila sofa yang bergoyang itu secara mengejutkan sesosok budak lelaki yang sekadar berseluar dalam melompat ke atas sofa itu yang entah dari mana datangnya. Sambil tersengih. Mukanya pucat lesi dengan anggaran usia sekitar lima tahun. Dia sekadar tersengih dan melihat tajam mereka yang berhimpitan itu.


Mereka abaikan, kaki yang terketar-ketar dan lantai yang tetiba basah akibat pengencingan tak terkawal Q dan G, terus melangkah gigih, walaupun sebenarnya masing-masing dah rasa macam tiada kepala lutut.


Mereka berjaya sampai ke pintu, dalam kepanikan Encik R terketar-ketar membuka dua lapis pintu, satu kayu dan 1 lagi grill dan reinforced dengan empat pad kekunci. Memang sungguh menyesal Encik R pasang kunci banyak-banyak.


WOOOOOOOO!!!! Satu lagi lolongan dari arah dapur. 10 biji mata anak-beranak terpaku ke arah dapur. Bukan di lantai, tapi di siling. Tangan Encik R semakin ligat membuka pad kunci terakhir yang nampaknya begitu susah nak dibuka, sebabnya di siling dapur walaupun dalam kesamaran malam, boleh dilihat dengan jelas sosok Ju On merangkak perlahan-lahan di siling menuju kearah mereka.


Dalam jarak lebih kurang tiga meter Ju On tu dari mereka, berjaya pula Encik R membuka pad kunci terakhir, terus berhamburan mereka keluar dari rumah itu. Naik kereta, dan ke surau berdekatan.


Encik R dan Puan M bertekad tidak akan kembali ke rumah itu lagi, meninggalkannya dipenuhi perabot dan peralatan yang baru-baru. Sayang sekali.


Sumber: JodoKast




Via : Amazing nara