Lelaki Cedera Ditetak Di Batu Kawan

BATU KAWAN – Seorang lelaki cedera parah selepas diserang dan ditetak sekumpulan lelaki di Kampung Achooi, Bukit Tambun di sini malam tadi.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafee Abdul Samad berkata R.Hananthan, 35, dari Kampung Batu Kawan dipercayai pergi ke Kampung Achooi untuk menghadiri majlis pengkebumian rakannya kira-kira 8 malam.


“Mangsa datang seorang diri dengan menaiki sebuah kereta dan semasa keluar dari kenderaannya tiba-tiba dia diserang empat lelaki bersenjata parang, yang dipercayai dua daripada mereka adalah kenalan mangsa.


“Mangsa sempat masuk ke dalam keretanya semula, namun keempat-empat suspek menetak kenderaan itu sehingga pecah cermin hadapan dan tingkap sebelum lelaki itu keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.


Beliau berkata semasa melarikan diri, mangsa dikejar suspek dan sempat ditetak sehingga terjatuh di hadapan sebuah rumah.



Shafee berkata empat lelaki itu kemudiannya melarikan diri selepas menyedari terdapat beberapa penduduk berhampiran rumah berkenaan dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.


“Mangsa berlari kira-kira 50 meter dari keretanya sebelum terjatuh di hadapan rumah itu, dia mengalami luka akibat ditetak di bahagian bahu kiri dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.


Katanya, menurut pemilik rumah tempat mangsa jatuh, ketika ditemui lelaki itu dalam keadaan mabuk dan polis tidak menolak kemungkinan berlaku salah faham antara dia dan suspek.


Polis turut menemui empat bilah parang tidak jauh daripada kereta mangsa dan dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.


Katanya identiti dua daripada empat lelaki yang menyerang mangsa telah dikenal pasti dan usaha mengesan suspek lain giat dijalankan.


Shafee berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.


“Saya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.


Dalam perkembangan lain, katanya polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang penternak ikan cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki di hadapan sebuah restoran di Jalan Ooi Kang Seng, Nibong Tebal tengah malam Rabu.


Katanya tiga lelaki berusia 30-an yang ditahan di sekitar Nibong Tebal pada Khamis dan Jumaat itu dipercayai dapat membantu mengesan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian itu.


“Motif kejadian masih dalam siasatan tapi kita tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dendam. Kes itu disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.


Dalam kejadian pada 12.10 tengah malam itu, Goh Kim Huat, 43, cedera parah sehingga hampir putus tangan dan kaki selepas diserang empat lelaki bertopeng dan bersenjata parang.


Mangsa yang sedang minum di restoran, dipukul serta ditetak dengan parang sebelum empat lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kerata jenis Proton Suprima warna putih yang menunggu mereka di tepi jalan berhampiran restoran itu bersama seorang pemandu lelaki. – BERNAMA