‘Lautan ungu’ di Padang Merbok berbanding 200 peserta di PJ


 Kehadiran peserta himpunan balas untuk membantah rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan presiden PAS jauh berbeza dengan jumlah peserta himpunan anjuran parti Islam itu, hari ini.
Ribuan orang dilaporkan berkumpul bersama pemimpin PAS di Padang Merbok untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap RUU 355, tetapi kurang daripada 200 orang muncul di “Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi” yang diadakan di Taman Jaya, di sini, hari ini.
Kedua-dua perhimpunan itu diadakan pada masa sama.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 20,000 orang menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, setakat jam 6 petang tadi.
Menyedari kehadiran peserta yang sedikit dan ketiadaan ahli Parlimen, Azrul Mohd Khalib daripada kumpulan aktivis sekular Bebas – penganjur perhimpunan itu – menggesa orang ramai menghubungi wakil rakyat masing-masing.
“Minta mereka undi menentang RUU Hadi!” katanya sambil menambah kumpulan itu akan menghantar surat kepada Dewan Rakyat “bagi memastikan suara kita didengari. Kami ada suara. Kami ada kepentingan sama di negara ini, bersama saudara Islam kita”.
Satu-satunya pemimpin politik yang berucap pada perhimpunan petang ini ialah Datuk Zaid Ibrahim daripada DAP dan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong.
Berucap di hadapan hadirin daripada semua lapisan masyarakat, Azrul memberi amaran kepada orang ramai mengenai ketidakadilan yang akan berlaku, jika RUU Hadi diluluskan.

Katanya, pindaan itu akan menyaksikan kuasa punitif Mahkamah Syariah meningkat secara mendadak dan boleh digunakan terhadap orang awam yang lemah, manakala mereka yang berkuasa kemungkinan besar terlepas.
“Mereka akan menyasarkan golongan lemah dan tidak berdaya, wanita serta golongan berpendapatan rendah yang hanya cuba mencari rezeki.
“Mereka akan dijadikan mangsa dan dihukum.”
Beliau turut menolak dakwaan PAS yang orang bukan Islam tidak akan terjejas dengan RUU 355 dan memberi contoh 1 kes di Aceh, Indonesia.
Kes itu berlaku di Takengon, Aceh, tahun lalu, apabila seorang wanita Kristian berusia 60 tahun disebat 30 kali di khalayak ramai kerana menjual alkohol. Wilayah itu ialah satu-satunya tempat di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam.
Menurut Azrul, walaupun tanpa pindaan itu, orang bukan Islam sudah terjejas akibat undang-undang syariah di Malaysia seperti kejadian baru-baru ini.
Ini termasuk serbuan ke atas kedai perkakasan yang disyaki menjual berus cat diperbuat daripada bulu babi dan larangan kek tidak halal di premis McDonald’s.
“Ini tidak boleh dibandingkan dengan apa yang akan berlaku,” katanya.
RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pada 24 November lalu, presiden PAS itu meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.