Kritikan Sebenarnya Membuatkan Buku Fattah Popular – Hafiz Hamidun

Isu buku Fattah Amin cukup hangat diperkatakan sejak beberapa hari ini, ia juga turut mendapat perhatian selebriti Hafiz Hamidun yang berpendapat segala kecaman dan kritikan mengenai buku 99 Kata-Kata Fattah Amin, hanya akan mempopularkan dan melariskan buku berkenaan.



Hafiz juga sebelum ini pernah menjadi mangsa kecaman netizen yang mendakwa bukunya, Cerita Hati Hafiz Hamidun penuh dengan foto selfie. Namun, Hafiz akui bukunya itu laris selepas menjadi viral.


Fattah tidak buat salah dan itu hak dia untuk hasilkan buku dan saya percaya dia juga menerima permintaan daripada pihak penerbit.



Kalau enggan beli, tidak perlu kecam kerana kadang-kadang mereka kecam tanpa asas yang kukuh. Ia sebaliknya menjadikan buku itu menjadi viral.


Dulu buku saya orang kecam dan kata penuh dengan selfie, tapi sebenarnya hanya lima helai selfie daripada 200 helai keseluruhan buku berkenaan.



Berbicara mengenai harga buku Fattah yang agak mahal harganya, Hafiz memberitahu Fattah sepatutnya membuat kajian tentang harganya dan adakah ia mampu dibeli oleh peminatnya.


Fattah seharusnya buat kajian tentang harga dan golongan peminat dia sama ada mampu beli atau tidak. Orang akan marah jika ia terlalu mahal.



Tidak dinafikan, memang perkara yang viral akan laris dalam sekelip mata. Soal harga, meskipun Fattah memberitahu ia sesuai dengan kualiti kertas dan grafik yang tinggi, ia tetap berbalik kepada  kemampuan peminatnya untuk membeli buku terbitannya itu. Iyalah, zaman sekarang kalau mahal sikit memang fikir dua kali hendak beli kerana keadaan ekonomi yang agak teruk.


Sumber Berita : mStar Online