KP Imigresen Enggan Ulas Isu Pasport Kim Jong-Nam

  • Print
  • Email
Details

Published on Wednesday, 15 February 2017 21:52

Filepic: Harian MetroFilepic: Harian MetroPUTRAJAYA – Jabatan Imigresen enggan mengulas mengenai isu ketulenan pasport dibawa Kim Jong-Nam yang mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.

baliknya, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali mengesahkan bahawa abang kepada pemimpin Korea Utara, King Jong-Un itu belum melepasi kaunter pemeriksaan daftar keluar ketika kejadian pembunuhan.

Pihak imigresen ujar beliau turut memberikan kerjasama diperlukan serta diminta oleh penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden berprofil tinggi berkenaan yang mendapat liputan luas media antarabangsa.

“Kejadian itu berlaku sebelum mangsa (Jong-Un) sempat melepasi kaunter (pemeriksaan daftar keluar imigresen). Penyiasatan rapi bagaimanapun sudah dijalankan oleh polis terhadap proses berkaitan dengan kejadian ini.

“Saya tidak mahu menyatakan perkara lain kerana polis menjalankan siasatan mereka dan pihak imigresen bantu PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media pendaftaran Program E-Kad di sini, hari ini.

Namun apabila ditanya pemberita sama ada pasport antarabangsa yang digunakan Jong-Nam ketika memasuki Malaysia adalah palsu atau sebaliknya, Mustafar enggan mengulas dengan lebih lanjut berkenaan perkara tersebut.

Media sebelum itu melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya masih lagi menyiasat sama ada dokumen perjalanan digunakan oleh si mangsa adalah yang sebenar atau pun tidak.

Ia susulan penemuan pasport pada mayat mendiang yang menyatakan bahawa pemegangnya dikenali sebagai Kim Chol dengan pasport bernombor 836410070 dan dilahirkan di Pyongyang, Korea Utara pada 10 Jun 1970.

Media asing kemudian melaporkan si mati ialah Kim Jong-Nam dan mendakwa dia dibunuh ejen khas Korea Utara ketika berada di KLIA pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan antarabangsa ke Macau, China pada 9 pagi.

Jong-Nam; anak sulung diktator Kim Jong-Il hidup dalam buangan di luar negara sejak 2001 dan terpaksa menyorok identiti sebenar dirinya susulan beberapa plot cubaan bunuh oleh perisik Pyongyang pada 2014 lalu.

Mustafar ditemui ketika melakukan tinjauan hari pertama operasi pendaftaran Program E-Kad Sementara Pekerja Asing yang dilaksanakan bermula pada hari ini sehingga 30 Jun depan.

Agensi/Mynewshub.cc/HAA