Korea Utara Tidak Puas Hati Dengan Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR: Korea Utara menolak sebarang hasil bedah siasat ke atas mayat abang pemimpin negara itu, Kim Jong Nam, yang dilakukan di Kuala Lumpur.

Ini kerana, menurut Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, pihak berkuasa Malaysia melakukan bedah siasat tanpa kebenaran dan kehadiran wakil daripada negara berkenaan.

Beliau ditemui wartawan di luar Institut Perubatan Forensik Negara, Kuala Lumpur, pada Jumaat malam.

“Mereka kata mereka perlu melakukan bedah siasat ke atas beliau (Kim Jong Nam) bagi mengesahkan punca kematian. Dan kita menolaknya kerana mereka kata Jong Nam telah mati akibat serangan jantung.

“Sebab itu lah, jika ianya serangan jantung, tiada sebab untuk mereka lakukan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini adalah kenyataan rasmi pertama dikeluarkan oleh pihak Korea Utara sejak pembunuhan Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Isnin lalu.

Sementara itu, Pyongyang juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Wisma Putra kerana dikatakan sengaja melambat-lambatkan proses penyerahan mayat Jong Nam.

Menurut Kang Chol, sebaik proses bedah siasat dilakukan, PDRM sepatutnya menyerahkan mayat Jong-Nam kepada kedutaannya memandangkan tuntutan mayat itu telah dibuat kepada Wisma Putra.

Namun katanya, Wisma Putra tidak memberikan sebarang maklum balas walaupun selepas pihaknya menyerahkan permohonan.

Tambah beliau, pihak kedutaan turut bertemu dengan pihak tertinggi PDRM untuk membawa keluar mayat Jong Nam, namun ia ditolak.

"Oleh itu, kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak Malaysia dan akan bertindak balas terhadap tindakan tersebut dan juga tindakan tidak baik terhadap DPRK. Dan kita saman di Mahkamah Antarabangsa,” katanya Kang Chol lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat dilaporkan berkata, keluarga diberi keutamaan untuk menuntut mayat Jong Nam.-Astro AWANI