Korea Utara Minta Sertai Siasatan PDRM

  • Print
  • Email
Details

Published on Monday, 20 February 2017 16:57

KUALA LUMPUR: Korea Utara mencadangkan kepada kerajaan Malaysia untuk ia dibenarkan menyertai siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian Kim Jong-nam.

Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, berkata ia bagi membolehkan siasatan dilakukan secara lebih telus dan tepat.

"Sekiranya Malaysia bersetuju dengan cadangan kami (sertai siasatan bersama), kami akan menghantar delegasi peguam bagi membantu siasatan.

"Kami juga ingin mengadakan pertemuan dengan dua suspek wanita yang didakwa membunuh Kim-chol (Jong-nam), dengan menyimbah cecair yang diragui ke mukanya," katanya pada sidang media di hadapan Pejabat Kedutaan Korea Utara di sini, sebentar tadi.

Pagi tadi, Kang Chol dipanggil ke Wisma Putra untuk mendapatkan penjelasan beliau berkenaan tuduhannya terhadap Kerajaan Malaysia dalam sidang akhbar Jumaat lalu.

Pada sidang media itu, Kang Chol memberi gambaran bahawa Kerajaan Malaysia mempunyai "sesuatu untuk disembunyikan" dan mendakwa Malaysia "berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar" dalam pengendalian kes kematian seorang warga Korea Utara pada 13 Februari 2017.

Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un diserang dua wanita di aras pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Setakat ini, empat suspek termasuk dua wanita sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.


- Berita Harian