Korea Utara Dakwa Malaysia Bersekongkol Dengan Musuh Negaranya

KUALA LUMPUR: Korea Utara mendakwa kerajaan Malaysia bersekongkol dengan musuh Pyongyang berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin negara itu Kim Jong-un.

Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol memberitahu pemberita bahawa Korea Utara menolak sebarang hasil bedah siasat ke atas mayat Jong-nam tanpa kebenaran.

"Ini adalah satu pelanggaran hak asasi manusia... rakyat kami," katanya di luar perkarangan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur Jumaat malam.

Jong-nam mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Isnin.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media, Kang turut mendakwa Malaysia enggan menyerahkan mayat Jong-nam walaupun sebelum ini bersetuju untuk melepaskan mayat itu selepas kertas kerja yang sewajarnya dikemukakan.

"Kami telah mengemukakannya tetapi Malaysia tidak memberikan jawapan.

"Ini jelas menunjukkan pihak Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu dan menipu kita serta mereka berpakat dengan kuasa musuh yang terdesak untuk memudaratkan kami," dakwanya.

Kang Chol turut menggesa kerajaan Malaysia supaya tidak terjerat dalam plot politik dan melepaskan mayat serta mengumumkan hasil bedah siasat dengan segera.

Jika gagal berbuat demikian, beliau berkata Pyongyang akan membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.-mStar Online