Kongsi Foto Berbikini Bukan Untuk Raih Publisiti - Fara Mendoza

Agak lama namanya tidak disebut-sebut, alih-alih pelakon Fara Mendoza kembali mencetuskan kontroversi ekoran tindakannya memuat naik foto yang menunjukkan aksinya berbikini di sebuah lokasi percutian Koh Lipe, Thailand, baru-baru ini yang sekaligus mendapat pelbagai kecaman oleh netizen.

Memetik laporan BH online, Fara, 27, bagaimanapun berkata dia tidak kisah dengan kritikan-kritikan tersebut kerana segala aktiviti dilakukan mahupun foto yang dikongsi di laman sosial adalah dirinya yang sebenar.

"Saya hanya mahu menjadi diri sendiri tanpa perlu bersikap hipokrit dengan sesiapa pun. Saya pula bercuti ke pulau bersama beberapa rakan perempuan saya, bukannya lelaki.

"Semestinya saya akan memakai pakaian renang, sesuai dengan suasana dan sekitar tempat kami bercuti," katanya.

Beberapa hari lalu, Fara memuat naik beberapa gambar percutiannya di Koh Lipe bersama rakan-rakan baik di Instagram. Akibatnya, beliau menerima kecaman di beberapa blog hiburan gara-gara pemakaiannya yang seksi.

Dalam pada itu, Fara turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang kurang senang dengan penampilannya yang sebegitu, namun beliau tidak mahu mengubah imej diri hanya kerana kritikan diterima daripada netizen.

Tegasnya, beliau memuat naik gambar berkenaan bukan untuk meraih publisiti.

"Inilah kehidupan peribadi saya. Maafkan saya jika ada pihak yang kurang senang dengan imej saya begitu.

"Cuma apa yang ingin ditegaskan, saya bukannya mahu menunjuk-nunjuk kepada umum untuk mendapat publisiti murahan," katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama Shhh...I Love You.