Kisah Seorang Biduan ubah hidup Dahlan Zainuddin

LAGU Kisah Seorang Biduan ternyata membawa tuah buat penyanyi popular era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin, 76, apabila dia dikenali dan namanya mula meniti di bibir peminat ketika itu.

Mula menimba pengalaman di kelab malam dan hotel, Dahlan kemudian mengintai peluang yang lebih baik melalui penyertaan program Bakat TV yang cukup popular ketika itu.

“Perasaan hendak menjadi penyanyi sangat kuat sehingga terdorong menyertai pertandingan nyanyian termasuklah Bakat TV terbitan RTM yang menyaksikan Datuk Jamali Shadat diangkat sebagai juara.


“Biarpun kalah, saya tidak pernah menyesal kerana penglibatan itu mendedahkan kepada pengalaman baru dan dalam masa sama membuka ruang lain memanjangkan cita-cita bergelar penyanyi,” imbasnya.

Nama Dahlan mula menjadi sebutan apabila dia memenangi kategori persembahan terbaik dalam pertandingan Bintang RTM 1975. Ketika itu kemenangan berpihak kepada Sudirman Arshad.

“Lagu yang membawa tuah kepada saya dalam pertandingan itu adalah lagu Kisah Seorang Biduan, ciptaan Sham Bimbo yang bukan sahaja menaikkan nama saya tetapi turut menjadi lagu ‘cari makan’ hingga ke hari ini.

“Lagu itu dimuatkan dalam album pertama dan turut menjadi penyebab album itu terjual beratus ribu unit,” ujarnya juga dikenali menerusi lagu Joget Kaki Lima, Laguku Untukmu, Wajah Wajah Cinta dan lain-lain.

Pernah mendapat jolokan Cliff Richard Malaysia, Dahlan mengakui tidak mudah menempatkan diri sebagai penyanyi kerana perlu bersaing dengan ramai bakat hebat yang ada.

“Pada era itu, bukan senang untuk bergelar penyanyi dan kalau tidak datang dengan bakat yang hebat memang tiada tempatlah berada dalam bidang seni.

“Bila sudah mendapat ruang, kena bersaing pula dengan penyanyi berbakat lain dan situasi itu menjadi sebab untuk berusaha dan meningkatkan kualiti nyanyiannya agar tidak ketinggalan.

“Penyanyi dulu, masuk studio boleh menyanyi enam lagu dalam satu masa, namun kalau kita bandingkan dengan penyanyi hari ini, walaupun pun bukan semua, nak rakam satu lagu pun mungkin mengambil masa sehingga berbulan,” luah Dahlan yang juga suami kepada penyanyi popular seangkatannya, Effa Rizan.

Terima hadiah kepingan emas

Bercerita kenangan manis bersama peminat, kata Dahlan, sanjungan dan penghargaan adalah sesuatu yang dikenang hingga kini.

“Setiap kali mengadakan persembahan, peminat saya suka datang lebih awal dan terpacak di lokasi mahu berjumpa dan bersalam biarpun belum tentu mempunyai peluang itu.

“Jadi seboleh-bolehnya saya cuba bertemu dengan mereka walaupun sekejap kerana tidak mahu menghampakan peminat.

“Ada artis yang takut bila diserbu, tetapi saya tidak begitu cuma kasihan atas segala usaha dan kesungguhan mereka walaupun saya tidaklah hebat mana,”

Tidak sekadar itu, kata Dahlan, dia juga turut menerima pelbagai hadiah yang yang menyentug hati.

“Antara hadiah yang masih saya ingat sehingga hari ini adalah pemberian Cufflin yang masih saya simpan elok.

“Saya juga pernah menerima kepingan emas yang diukir dengan nama timangan saya, Dell sebagai hadiah ketika menjayakan sebuah persembahan eksklusif di sebuah negeri di pantai timur,” kenangnya sambil ketawa kecil.

Diserang penyakit angin ahmar

Meskipun kesihatannya kini terganggu, Dahlan mengakui tidak pernah terlintas berhenti menyanyi kerana minatnya dalam bidang ini.

“Pada usia begini, saya bukan menyanyi kerana nak cari glamor atau buat duit lagi tetapi lebih kepada memenuhi kehendak jiwa yang rasa senang bila dapat menyanyi untuk menghiburkan orang.

“Paling penting juga saya dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama yang turut berjuang bersama-sama sebelum ini,” akuinya.

Semenjak lebih lapan bulan lalu, Dahlan diserang angin ahmar selain penyakit jantung dan saraf yang memerlukannya menjalani rawatan berterusan.

Sebagai tanda sokongan dan prihatin, Persatuan Karyawan Malaysia bakal mengadakan Konsert Amal Dahlan Zainuddin pada 19 Februari ini di Hard Rock Café, Kuala Lumpur di mana hasil jualan tiket bakal disumbangkan kepada penyanyi ini untuk mengurangkan beban kos rawatannya.