Kisah pokok besar dikenali ‘Bunut Susu’ yang menyerupai buah dada wanita

KANAK-kanak akan lari ketakutan pada waktu Maghrib sebaik sahaja melalui kawasan yang terdapat sebatang pokok besar menyerupai buah dada wanita, dikenali sebagai pokok bunut.


Mohammad menunjukkan tapak asal pokok bunut yang sudah tiada pada masa kini

Mohammad menunjukkan tapak asal pokok bunut yang sudah tiada pada masa kini


Saiz pokok besar dengan bentuk pelik, malah mengeluarkan getah berwarna putih, benar-benar menyeramkan anak-anak kecil dan boleh dikatakan kewujudannya menghantui ramai kanak-kanak.


Namun, di sudut lain, sifat-sifat pelik pada pokok itu secara tidak langsung menjadi satu keunikan yang membolehkan kawasan dalam Dun Tendong itu mendapat nama Kampung Bunut Susu.


Imam Mukim Bunut Susu, Mohammad Ali, 74, yang merupakan anak jati kampung itu berkata, ia sebuah kisah lama disampaikan dari mulut ke mulut sejak beberapa generasi.


“Masa saya lahir, kampung ini sudah dikenali sebagai Bunut Susu. Pokok besar itu dipanggil pokok bunut oleh masyarakat tempatan dan tumbuh berhampiran stesen kereta api suatu ketika dulu.


“Boleh dikatakan lokasinya berhampiran Klinik Kesihatan Desa Bunut Susu. Masa kecil dulu saya dan rakan-rakan selalu mandi-manda di sungai berhampiran pokok itu. Di situlah kami belajar berenang,” katanya.


 


Jadi tempat pemujaan


Mohammad berkata, kewujudan pokok pelik itu turut mendatangkan perkara negatif termasuk dijadikan tempat pemujaan suatu ketika dulu dan beliau masih ingat cerita orang-orang tua yang mengatakan orang silat atau tok dalang wayang kulit perlu singgah beri hormat di kawasan itu.


“Saya ingat lagi cerita orang tua-tua dulu, Jika tak berhenti beri hormat, dipercayai pesilat atau dalang wayang kulit akan mendapat mudarat seperti tak dapat beraksi atau buat persembahan dengan baik. Namun kepercayaan karut itu pupus bersama peredaran masa,” katanya.


Mohammad turut menceritakan, Kampung Bunut Susu dikatakan telah dibuka oleh orang-orang berasal dari Patani, Selatan Thailand, sekitar 1700 Masihi dan mengikut ceritanya, berlaku peperangan antara Kerajaan Thailand dan Kerajaan Patani ketika itu.


Menurutnya, peperangan berakhir dengan kekalahan Kerajaan Patani menyebabkan ramai rakyatnya berhijrah ke kawasan berhampiran dan salah satu kawasan tumpuan adalah Kampung Bunut Susu.


“Kisah ini terbukti kerana asal-usul kebanyakan penduduk adalah dari Patani termasuk datuk dan nenek saya sendiri,” katanya.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Kiat, Mohd Hapizi Ismail, 43, memperakui perkara itu dan memaklumkan, nenek moyangnya juga berasal dari Patani.


“Mungkin apa yang diceritakan dari mulut ke mulut berkenaan Kampung Bunut Susu dibuka oleh rakyat Patani adalah benar. Dulu Bunut Susu merupakan kawasan sibuk dengan kepesatan ekonomi serta dikenali ramai kerana ada sebuah stesen kereta api.


“Sekarang Bunut Susu hanya kampung biasa dengan kemudahan asas seperti balai polis, klinik desa, perpustakaan desa, dua Sekolah Rendah Kebangsaan Bunut Susu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bunut Susu,” katanya.


 


Nadi rakyat


Menurut Mohammad, Bunut Susu juga cukup terkenal kerana terdapat sebuah stesen kereta api yang sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti ekonomi sekali gus menjadi nadi kepada penduduk sekitar suatu ketika dulu.


“Stesen itu sangat sibuk dengan aktiviti perniagaan dan di sekitarnya terdapat deretan kedai yang tidak lagi dapat dilihat pada masa kini.


“Masih segar dalam ingatan saya, seorang pekerja kaunter tiket di stesen kereta api itu, Master Che Ros yang sangat dikenali kerana mengajar bahasa Inggeris secara percuma kepada orang kampung,” katanya.


 


Sumber: Sinar Harian