Keselamatan Sempadan Negara Ketika Aidilfitri Terjamin

JOHOR BAHARU – Rakyat tidak perlu bimbang tentang tahap keselamatan di kawasan sempadan negara sepanjang musim perayaan ini, memandangkan ia dijamin berada pada tahap terbaik.


Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata jaminan itu diberi berdasarkan penugasan kira-kira 3,000 anggota di kawasan persempadanan Semenanjung Malaysia, tidak termasuk di Sabah dan Sarawak.


“Mereka akan terlibat dengan beberapa operasi khusus termasuk Operasi Merpati di Johor dan Melaka serta Operasi Wawasan dan Pagar di kawasan persempadanan Malaysia-Thailand.


“Malahan, saya juga akan berada di sempadan Malaysia-Thailand pada Hari Raya ini untuk meninjau keadaan di situ,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama anggota tentera di Markas Taktikal S Bateri 33 Rejimen Artileri Diraja (RAD) di Kampung Tebing Runtuh, di sini malam tadi.


Katanya, beliau percaya anggota-anggota yang ditugaskan itu mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan fokus, tanpa mengira apa jua keadaan sekalipun.


“Memang bagi anggota yang sudah berkeluarga, mereka akan merasa kesunyian dan sedih apabila berhari raya bersendirian.


“Namun, saya berharap mereka bersabar dan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas terutama sekali ketika menjaga keselamatan ‘base’ (penempatan) dan persempadanan mereka,” kata Zulkiple.


Zulkiple juga merakamkan terima kasih kepada para keluarga anggota-anggota terlibat yang sanggup melepaskan suami dan isteri sendiri ketika hendak menyambut Aidilfitri bagi menjaga keselamatan negara. – BERNAMA