Kesantunan Jemaah Malaysia Jadi Pujian Pemilik Hotel

MAKKAH – Kesantunan jemaah Malaysia menjadi pujian pemilik Hotel Land Premium, yang dijadikan maktab oleh Tabung Haji (TH) untuk menampung sekumpulan daripada 22,320 jemaah yang akan menjalankan ibadat haji nanti.


Pemilik Hotel Land Premium, Yasir Turkey Deyebir berkata kumpulan jemaah terdahulu yang menginap di hotelnya sentiasa menjaga disiplin dan tertib sebagai seorang rakyat Malaysia yang baik.


“Jemaah Malaysia merupakan yang terbaik, disanjungi dan dimuliakan. Pihak saya akan sentiasa memberi komitmen terbaik kepada kumpulan jemaah negara itu pada musim haji tahun ini,” katanya ketika ditemui di hotel berkenaan di sini hari ini.


Hotel Land Premium merupakan antara sembilan hotel yang dijadikan maktab penginapan jemaah Malaysia pada musim haji tahun ini.


Yasir berkata jemaah Malaysia yang akan datang ke sini tidak perlu bimbang kerana jarak bangunan hotel tersebut dengan Masjidil Haram hanya kira-kira 850 meter dan keadaan jalan adalah mendatar, sekali gus memudahkan jemaah untuk ke masjid.


Yasir berkata hotelnya mampu menampung sehingga 4,900 tetamu pada satu-satu masa, memilki ruang lobi yang luas, kemudahan kafetaria dan akan memberi perkhidmatan 24 jam sekiranya bantuan diperlukan.


“Mereka juga tidak perlu bimbang untuk membeli barangan keperluan kerana hotel kini dikelilingi kedai-kedai runcit,” katanya.


TH dalam kenyataan di sini berkata, sembilan hotel yang disewa sepanjang musim haji akan disediakan dengan pelbagai kemudahan seperti kaunter kewangan, klinik, surau, kemudahan Wi-Fi dan lain-lain. – BERNAMA