Kerajaan Pulau Pinang "Anak Tiri" Projek Rumah Mampu Milik Persekutuan




GEORGE TOWN, 16 Feb - Kerajaan Pulau Pinang sekali lagi diminta mempercepatkan proses kelulusan berkaitan pembinaan rumah mampu milik oleh kerajaan persekutuan di negeri ini bagi membolehkan pembinaan 46,602 unit rumah yang dirancang untuk rakyat Pulau Pinang.

Menyifatkan layanan diterima daripada kerajaan DAP itu dalam meluluskan projek perumahan persekutuan seperti 'lebih teruk daripada layanan kepada anak tiri', Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pihaknya hanya memerlukan kelulusan seperti pemaju lain untuk meneruskan projek perumahan rakyat yang dirancang.

"Kami hanya perlu kelulusan pelan...kami tak perlu bajet, tak perlu tanah, tak perlu kelulusan syarat khas...kami cuma nak kelulusan lain yang munasabah seperti pemaju-pemaju lain.

"Kami tunggu tiga, empat tahun tak ada kelulusan, (ada projek) masuk mesyuarat 28 kali tangguh. Ini bukan anak tiri lagi, teruk daripada anak tiri lagi kena seksa...dah jadi kena pukul hari-hari untuk dapat keputusan tapi langsung tak dapat (keputusan)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pelaksanaan projek-projek perumahan mampu milik oleh kerajaan persekutuan bagi negeri di bawah pimpinan DAP ini dilaksanakan secara langsung oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan tujuh agensi persekutuan lain.

Bagaimanapun kerajaan persekutuan masih perlu mendapatkan kebenaran dan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri sebelum boleh melaksanakan semua program perumahan mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang.

Secara keseluruhan, jumlah unit perumahan mampu milik yang telah siap dibina, sedang dalam pelaksanaan dan dalam perancangan untuk dibina oleh kerajaan persekutuan di negeri ini dalam tempoh 2008 hingga 2016 ialah 56,569 unit.

Zainal Abidin berkata semasa kerajaan negeri di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), permohonan projek-projek perumahan untuk rakyat diberi keistimewaan supaya dipercepatkan kelulusannya dengan tahap keutamaan tinggi.

"Hal perumahan untuk rakyat bukan sesuatu perkara yang harus dijadikan bahan untuk berpolitik kerana ia hanya akan merugikan rakyat," katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 2008 hingga 2016, sebanyak 34 projek meliputi 5,950 unit perumahan mampu milik telah siap dilaksanakan kerajaan persekutuan di negeri ini, manakala 19 projek melibatkan 4,017 unit rumah lagi sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Sejumlah 39 projek baharu sedang dirancang untuk dilaksanakan melibatkan pembinaan 46,602 unit rumah di seluruh Pulau Pinang, katanya.

Sementara itu, 293,000 penduduk Pulau Pinang akan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) melibatkan RM263.2 juta mulai 18 Feb ini.

-- BERNAMA