Kemalangan Penunggang Basikal: "Berhenti Salahkan Orang Lain", Titah Permaisuri Johor

  • Print
  • Email
Details

Published on Monday, 20 February 2017 10:57

KUALA LUMPUR: Kemalangan maut lapan remaja penunggang basikal di Johor Bharu, awal pagi sabtu lepas mendapat perhatian Permaisuri Johor,  Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Titah Permaisuiri, tragedi malang itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai modal kepada mana-mana pihak berkepentingan menunding jari dan meletakkan beban kesalahan kepada individu lain.

"Berhubung kemalangan maut membabitkan lapan penunggang basikal : Barangkali kita perlu berhenti menyalahkan orang lain.

"Barangkali, kita sepatutnya bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam mencari penyelesaiannya," tulis Raja Zarith di laman sosial facebooknya, semalam.

Tanpa merujuk kepada mana-mana individu, Raja Zarith menegaskan "Kata-kata yang melukakan perasaan atau penuh kemarahan tidak akan menghidupkan dan membawa mereka kembali".

Pada awal pagi sabtu lepas, sekumpulan remaja menunggang basikal dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, Johor.

Seramai 16 penunggang basikal berusia lapan hingga 16 tahun berada di tempat kejadian.

Rempuhan menyebabkan lapan orang maut, dua orang kritikal dan enam lagi cedera.

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin menerusi twitnya pada sabtu lepas menyifatkan insiden kemalangan tersebut menambah lagi trajedi pada era pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"8 remaja penunggang basikal terbunuh dilanggar motokar di Johor. Sebelumnya hospotal terbakar. Menambah trajedi negara dibawah era Najib," tweet Zainuddin.

Twit berkenaan kemudiannya dikecam pengguna laman mikro berkenaan yang rata-ratanya mempertikaikan pemikiran bekas menteri dan juga tokoh kewartawanan berkenaan meletakkan beban trajedi berkenaan di bahu Najib.


Sementara itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar turut menyatakan simpatinya kepada keluarga mangsa trajedi berkenaan sambil menasihati ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak agar insiden seumpama ini tidak berulang.

Menurut baginda, kemalangan ini wajar dijadikan sebagai pengajaran kepada ibu bapa.

“Yang pergi tidak akan kembali, biarkan pergi, ini juga pengajaran kepada ibu bapa untuk tidak membenarkan anak mereka keluar pada waktu malam.

“Biar dia yang menangis, jangan kita menangis. Saya pun ada anak dan dah pergi tak kembali, kalau saya sedih awak sebagai ibu dan bapa kepada mangsa mesti lebih sedih. Ingat pesanan saya,” titah baginda dalam lawatannya di rumah keluarga mangsa, pada sabtu.

- Malaysian Digest