Keller kru anugerah Oscars

Nama model jelita berdarah kacukan Jerman dan China yang juga hos program TV terkenal, Denise Keller, 33, bukanlah asing dalam dunia pengacaraan di Asia.

Antara program bercorak travelogue yang menaikkan namanya ialah Silk Road, program untuk saluran TLC Passage yang membabitkan kembaranya di Malaysia, China dan Timur Tengah.


Bekas VJ MTV kelahiran Singapura ini juga bermula sebagai hos program Discovery Channel Travel & Living, program reality TV MediaCorp Can You Serve? dan Discovery Channel, Expedition X: Silk Road Rising.

Status sebagai isteri juga bukan penghalang buat Keller untuk terus menempa nama di peringkat antarabangsa.

Dalam satu temu bual, Keller mengakui bidang pengacaraan sudah sebati dengan dirinya sejak dulu.

“Terus terang, saya memiliki karier yang paling hebat dan menarik di dunia. Sebagai hos, saya juga memiliki kelebihan untuk meneroka pelbagai tempat menarik, bertemu orang ramai dan mempelajari adat dan budaya berbeza membabitkan pelbagai golongan masyarakat.

“Walaupun sudah berkahwin, saya berharap dapat meneruskan karier sebagai pengacara ini sampai bila-bila,” katanya.

Bersandarkan populariti dan pengalaman luasnya, tidak hairanlah Keller diberi kepercayaan pihak HBO Asia sebagai kru media sosial yang akan melaporkan acara karpet merah Academy Awards 2017 atau Oscars yang akan bersiaran secara eksklusif di laman media sosial saluran HBO Asia.

Acara eksklusif karpet merah Oscars itu juga membabitkan sesi temu bual video dengan selebriti Hollywood, gambar di belakang pentas dari karpet merah dan ucapan selebriti Hollywood boleh didapati di platform media sosial HBO Asia - Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.

HBO Asia juga akan menayangkan Academy Awards 2017 secara langsung dan eksklusif dari Los Angeles, Amerika Syarikat merentasi pelbagai skrin pada 27 Februari ini jam 8 pagi.

Ia bermula dengan siaran langsung dan ‘streaming’ acara karpet merah Oscars disusuli Academy Awards di saluran Astro 411/431 dan Astro On The Go pada jam 9.30 pagi.

Ia dihoskan Jimmy Kimmel dan antara barisan penyampai ialah Leonardo DiCaprio, Brie Larson, Mark Rylance dan Alicia Vikander.

Peluang ke Los Angeles menonton Academy Awards tahun depan

Seramai 14 pemenang bertuah peraduan Academy Awards dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina, Hong Kong dan Taiwan akan dibawa ke Los Angeles menyaksikan acara karpet merah secara langsung sempena acara berprestij itu tahun depan.

Tahun ini, HBO Asia sekali lagi memberi penonton peluang untuk memenangi 14 tiket melalui Peraduan HBO Ultimate Oscars Experience.

Peluang seumur hidup ini termasuk menyaksikan acara karpet merah Academy Awards tahun depan.

Hadiah terbabit termasuk kos penerbangan pergi-balik ke Los Angeles, penginapan hotel 5 hari 4 malam, pelancongan VIP taman tema dan pelancongan helikopter kawasan pantai California yang menakjubkan.

Bagi menyertainya, penonton perlu menjawab satu soalan yang akan didedahkan ketika siaran langsung Academy Awards 2017 di HBO pada 27 Februari ini jam 9.30 pagi.

Maklumat lanjut, sila layari laman www.hboasia.com/oscars.

Dalam perkembangan lain, HBO Asia dan Astro akan menganjurkan majlis siaran langsung Academy Awards 2017 di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ia akan disertai selebriti tempatan antaranya Hisyam Hamid, Zarul Umbrella, Mark Adam, Wafiy, Awang, Jamal Jamaluddin, Akhmal Nazri, Raianna Abdul Rahman dan Syazwan Zakariah yang diacarakan Kamal Adli.