Kekejaman Bashar Didedah

DAMSYIK – Jenayah perang Presiden Syria, Bashar Al-Assad semakin terbukti selepas gambar mang­sa pembunuhan beramai-ramai di penjara yang diuruskan oleh tentera rejim menjadi viral baru-baru ini.

Penjara-penjara di sekitar Damsyik itu menjadi kem tahanan rakyat Syria yang berani bangkit menentang Bashar. Mereka diseksa dengan kejam sebelum dibunuh.

Portal Daily Mail menyiarkan gambar menyayat hati menunjukkan mayat-mayat kurus ke­ring kerana kekurangan air dan kebuluran selain mempunyai kesan lebam akibat dibelasah.

Sebahagian gambar itu pula memaparkan mayat yang mempunyai kesan kelaran pada tubuh mereka akibat ditoreh dengan pisau, disimbah asid, terkena arus elektrik atau dicucuh api rokok.

Bagi menutup kekejamannya, rejim Bashar memaksa doktor di tiga buah hospital di Damsyik menandatangani sijil kematian yang mengesahkan mangsa-mangsa itu meninggal dunia akibat kegagalan jantung atau masalah pernafasan.

“Ia seperti adegan dari ne­raka. Kami tidak dibenar memeriksa jika mereka yang sudah mati. Saya telah melihat begitu banyak perkara dahsyat,” kata seorang doktor dikenali sebagai Nemer Hassan.

Nemer yang kini menetap di Jerman menceritakan pe­ngalamannya kepada Daily Mail minggu lalu. Katanya, dia terpaksa berkhidmat untuk melindungi keluarganya.

Menurut Nemer, mayat-mayat tahanan itu kemudian dibawa di sebuah kubur besar berhampiran dan ditanam tanpa pengetahuan keluarga masing-masing.

Beribu-ribu mangsa kekejaman rejim Bashar dipercayai ditanam di dalam kubur besar itu bagi menyembunyikan bukti jenayah perang.

Pada minggu lalu, pertubuhan hak asasi Amnesty Internatio­nal melaporkan bahawa 13,000 orang dibunuh di penjara-penjara Bashar.


Penulis bersama laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai kekejaman Bashar, Sir Desmond de Silva pula berkata, gambar-gambar itu mengingatkan kembali kepada kekejaman rejim Nazi di kem tahanan Auschwitz. – Agensi/Kosmo