Kehidupan Sayu Siti Fatimah Bekas Atlet Paralimpik Wakil Johor

Dalam keadaan kudung kedua-dua kaki, Siti Fatimah Md Nor, 25, hanya mampu mendiami bilik berkeluasan sembilan meter persegi dan hanya berdindingkan papan lapis

Lebih memilukan, di Seksyen U5, Subang Bestari itulah dia bersama anak keduanya, Evelyn Felisha Elvina Mohd Nazri, berusia sebulan dan suaminya, Mohd Nazri Izwani, 23 berteduh saban hari

Anak pertamanya, Danish Izz Firdaus, 7 pula tinggal di rumah datuknya di Segamat, Johor

Menceritakan kisah hidupnya, Siti Fatimah berkata, dia pernah mewakili Johor sebagai atlet paralimpik dalam pertandingan sukan tenis berkerusi roda 2014 lalu

Menurut Siti, dia tidak lagi meneruskan kerjanya sebagai atlet paralimpik bagi menumpukan tanggungjawab terhadap suami dan anaknya yang masih kecil

Menurutnya, sejak itu juga dia mula mendiami bilik di rumah kedai berkenaan yang disewa dengan harga sekitar RM260

“Sejak berkahwin tahun lalu, kami masih lagi mampu tinggal di sini, namun kos sara hidup yang makin tinggi menyebabkan kami semakin hari semakin susah

“Malah sejak kelahiran cahaya mata kedua kami ini, banyak duit nak guna untuk tampung keperluan harian,” katanya

Menurutnya, biarpun mendapat bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan, namun ia masih tidak mencukupi

“Tiada terlintas pun untuk kami berdua meminta simpati ramai. Namun dengan pendapatan suami sebagai pekerja stor, ia memang memeritkan. Malah keadaan saya yang serba kekurangan ini menjadikan perjalanan hidup ini semakin sukar,” katanya

Menurutnya, apa yang menjadi impiannya ketika ini adalah untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa dan luas

“Lihatlah kami sekarang, hanya ruang ini sajalah kami mampu. Inilah bilik, inilah ruang tamu kami. Dapur pun kami tiada,” katanya

Ditanya berhubung rutin hariannya di rumah, Siti Fatimah berkata, segala pergerakan banyak dibantu oleh suaminya termasuk keperluan makanan

“Setiap pagi sebelum suami kerja, dia akan menyediakan makanan. Waktu tengah hari pula dia akan pulang semula untuk menghantar makanan

“Hanya dia sajalah tempat bergantung untuk kami dua beranak,” katanya

Sementara itu tinjauan Harian Metro di sekitar kediaman Siti Fatimah mendapati mereka terpaksa berkongsi aras dengan 14 lagi penghuni yang kebanyakannya terdiri daripada individu masih belum berkahwin

Berikutan itu juga mereka turut berkongsi tandas apabila hanya dua saja disediakan di atas premis kedai berkenaan

Tambah menyedihkan kerusi roda yang digunakan Siti Fatimah sejak lebih empat tahun lalu kini berada keadaan ‘uzur’ apabila alasnya koyak.

Diharap pihak berkenaan dapat memberikan bantuan atas jasa siti fatimah dalam bidang sukan.