KDN Cadang Larang Remaja Bawah Umur Berada Lewat Malam Di Bandar Raya

Johor Bahru – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan supaya kerajaan negeri mengeluarkan arahan melarang remaja bawah umur berada di kawasan bandar raya, jalan raya dan lokasi tertentu pada lewat malam.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, larangan itu perlu bagi menangani pelbagai kejadian tidak diingini seperti kemalangan berbasikal yang berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, awal pagi semalam.

“Larangan dicadangkan dikuatkuasakan kerajaan negeri untuk ‘tuan punya tapak’ lokasi atau premis supaya tidak membenarkan remaja bawah umur berada di lokasi atau premis mereka pada lewat malam. Contohnya, Majlis Bandaraya Johor Bahru yang bertanggungjawab ke atas Dataran Bandaraya Johor Bahru,” katanya.
Nur Jazlan yang juga anggota Parlimen Pulai berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pulai, di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden yang meragut nyawa lapan remaja berbasikal dan lapan yang lain cedera apabila basikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Almera di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, 3 pagi, semalam. – Bernama