Karnival konsep kontena

Sempena pembukaan KL Carnival yang akan berlangsung Jumaat ini (24 Februari), beberapa artis akan berhimpun bagi memeriahkan lagi acara yang dirancang. Penganjuran KL Carnival adalah pusat bazar beli-belah terbesar yang akan menggunakan kontena sebagai tarikan utama.

Antara artis yang akan membuat persembahan pada karnival itu, Ramona Zamzam, Amira Othman, Thalia Mentor, Ran Raja Lawak dan Reyhana.


Ketua Pegawai Eksekutif KL Carnival, Mohd Rustam Roshandin berkata, karnival itu adalah rentetan daripada kejayaan KL Downtown Night Market yang pernah diadakan di Bandar Tun Razak Cheras.

“Selepas penutupan di Cheras ramai peniaga termasuk beberapa artis yang berniaga di sana mahu kami meneruskan karnival ini. Malah sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga kami pernah menerima pengunjung seramai 10,000 orang pada satu malam,” katanya.

Rustam berkata, atas sambutan dan sokongan itu pihaknya sepakat untuk melaburkan jumlah yang tinggi bagi meneruskan karnival itu.

“Ini adalah karnival terbesar yang menggunakan kontena malah kami menerapkan konsep ‘kontena market’ untuk karnival kali ini. Penampilan dan persembahan artis juga sebagai salah satu acara yang akan diadakan sepanjang karnival berlangsung.

“Pemilihan lokasi di Bukit Jalil juga kami yakin mampu menarik lebih ramai orang untuk datang kerana kawasannya yang selesa dan tidak mengganggu kediaman penduduk,” katanya.

Menurut Thalia, dia yang kini aktif berniaga makanan berhasrat mempromosikan Sambal Ketuk Abah yang sedang diusahakannya di karnival itu.

“Saya teruja apabila mendapat tahu ini adalah karnival terbesar yang menampilkan konsep kontena. Pastinya saya tidak sabar untuk turut sama menjual produk makanan yang saya usahakan.

“Di samping dapat menghiburkan pengunjung, saya berharap dapat sama memeriahkan karnival dengan berniaga sambal saya,” katanya.

Sementara itu, Ramona pula berkata, dia teruja untuk menyertai karnival itu apabila mengetahui penganjuran bazar berkonsepkan kontena itu adalah yang terbesar di Asia.

“Ia adalah konsep yang unik dan jarang dilakukan. Saya yakin konsep seperti itu akan menarik lebih ramai pengunjung di samping saya sendiri dapat turun padang beramah mesra dengan peminat,” katanya.

Sebanyak 250 kontena akan dilancarkan sepenuhnya pada awal April ini yang berkonsep kontena terbesar di Asia. Selain itu, 400 khemah turut didirikan merangkumi pelbagai jualan barangan keperluan harian.