Kalau Nak Si Kecil Anda Pandai Ngaji Al-Quran, Tirulah Cara Pakar Motivasi Ini!





Membaca al-Quran bukan hanya pada waktu tertentu sahaja tetapi dibuat sepanjang masa. Hasilnya anak mudah memahami dan menghafal dengan baik sejak dari kecil lagi.



Kanak-kanak yang didedahkan dengan sesuatu perkara baharu dan bermanfaat untuk mereka serta dilakukan berulang kali, insya-Allah akan menjadi satu tabiat positif dalam diri. Dalam masa yang sama meningkatkan perkembangan emosi dan spiritual.



Dikongsikan beberapa tip yang boleh dimanfaatkan oleh ibu ayah yang mahukan anak-anak anda mencintai al-Quran sejak kecil.



1) Gunakan masa di antara waktu solat untuk anak-anak membaca al-Quran. Sebaiknya waktu solat Maghrib dan Isyak kerana masing-masing telah ada di rumah. Dalam sesi ini masing-masing boleh membaca dan ibu ayah dapat menyemak bacaan anak. Jika ada kesilapan boleh buat teguran awal.





2) Amalkan membaca ayat suci al-Quran dalam kereta. Contohnya, ayah akan membaca beberapa ayat dan anak akan sambung. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran membaca tetapi menyeronokkan bagi anak yang menempuhi perjalanan jauh dan juga boleh elak mengantuk.



3) Sentiasa memperdengarkan ayat suci al-Quran di rumah atau dalam kenderaan anda. Apabila anak-anak dah terbiasa mereka dengan sendiri boleh menerima dan memahaminya.



4) Bagi ibu ayah yang mempunyai masa lapang, boleh juga buat kuiz untuk anak-anak mengenai pengetahuan mereka berkaitan hukum tajwid. Biarpun ringkas tapi anak akan ingat pada masa akan datang.



5) Galakan anak-anak membaca buku cerita mengenai kelebihan al-Quran. Selepas itu boleh tanyakan soalan supaya anak lebih mengerti.



6) Luangkan masa bawa anak ke majlis ilmu untuk beri pendedahan. Meskipun mereka tidak faham tapi lama-kelamaan akan rasa seronok.



 



Perkongsian tip ini dari Encik Fazrul Ismail (Perunding Akademi Synergi Ikhlas ketika ditemui bersama ahli keluarganya di program MALAYSIA #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.)




Layari laman web