"Kalau Betul Dia Jodoh Saya..."

Lebih selesa meletakkan hubungan status hubungannya dengan Sari Yanti sebagai teman baik namun pelawak Jep mengakui sudah bersedia andai aktres itulah yang ditakdirkan sebagai jodohnya.



"Buat masa ini, apa yang boleh saya katakan kami selesa bersama. Begitupun untuk mengatakan kami sering berjumpa tidak boleh juga. Masing-masing bekerja seperti biasa, namun begitu kami kerap juga berbalas mesej menerusi WhatsApp.

"Apa yang penting, buat masa ini kami tiada sebarang komitmen. Cuma setakat ini, semuanya adalah menyenangkan dan tidak ada yang memeningkan kepala.

"Dalam berkawan, saya mengharapkan sesuatu yang baik. Kalau betul dia (Sari Yanti) jodoh saya, tentunya saya mampu mengaminkan saja," katanya seperti yang dilaporkan BH online.

Jep turut berkata, beliau tidak mempunyai masalah andai jodoh dirinya sampai cepat atau lambat. Meskipun begitu, dia tetap berharap dapat mengakhiri zaman bujang sementara ibu bapanya masih ada.